Skip to main content
MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyambut baik pengumuman pelaksanaan kemasukan pelajar ke kampus secara berperingkat bermula 1 Mac nanti seperti mana yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), baru-baru ini.
 
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Prof Dr Zulkifilie Ibrahim berkata, pihak UTeM sudah menggariskan beberapa panduan dan pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang akan bermula bulan depan, selari dengan hasrat KPT.
 
Beliau menyatakan berdasarkan unjuran, sebanyak 80% orang pelajar daripada keseluruhan enrolmen UTeM adalah dibenarkan masuk ke kampus bermula Mac nanti.
 
Jelasnya, secara perancangan proses kemasukan pelajar pula adalah secara berfasa bermula dari 2 hingga 6 Mac depan dan seramai 4,000 orang pelajar dijangka akan ditempatkan dalam kolej kediaman.
 
Katanya, keutamaan adalah kepada pelajar tahun satu yang mana diunjurkan seramai 2,919 orang pelajar akan ditempatkan di asrama manakala pelajar tahun 2 boleh memohon mengikut kriteria ketetapan yang ditetapkan.
 
“Di samping itu pihak UTeM turut memberikan keutamaan kepada pelajar daripada golongan B40 dan BL40’” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini di kampus induk UTeM, Durian Tunggal.
 
Beliau menambah bahawa sesi PdP pula akan dilaksanakan secara 3 mod iaitu secara dalam talian sepenuhnya, hibrid dan juga secara bersemuka.
 
Menyentuh tentang kriteria vaksinasi pula, diutamakan bagi pelajar yang telah menerima vaksinasi lengkap 2 dos (melebihi tempoh matang selepas suntikan dos) dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan universiti.
 
Bagi pelajar yang tidak memenuhi keperluan vaksinasi, pelajar ini perlu mengikut ketetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan universiti