Pusat Kecemerlangan dan Kesarjanaan Akademik (CAES), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan Innovative Teaching & Learning Research Day 2021 (InTReD 2021) di Kampus Teknologi Ayer Keroh secara maya, baru-baru ini.
Program ini adalah program kali ketiga dilaksanakan oleh CAES dan telah menjadi acara tahunan bermula pada tahun 2018.
Pengarah CAES, Profesor Madya Dr Jariah Mohamad Juoi, berkata inisiatif perlaksanaan program ini diharapkan dapat menyemarakkan lagi aktiviti penyelidikan dan inovasi kesarjanaan pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan staf akademik UTeM.
Jelasnya, program ini juga menjadi landasan kepada semua staf akademik untuk berkongsi dan bertukar-tukar idea dalam menghasilkan portfolio pengajaran yang terbaik serta percambahan idea dan usaha bagi menyokong atribut ‘Pendidik Berinspirasi’ di UTeM.
Ujarnya, InTReD’21 telah menerima 52 penyertaan keseluruhan track iaitu Creative and Innovative Teaching and Learning, Learning Technology, Learning Skills, TVET Teaching and Learning, STEM Education dan e-Teaching Portfolio.
Terdapat pemenang bagi track satu hingga lima untuk Best Paper Award, Best Poster Presentation Award dan pemenang pingat emas, perak dan gangsa bagi setiap track manakala bagi track enam pula ada 3 pemenang bagi Outstanding e-Teaching Portfolio Awards dan kesemua pemenang akan menerima sijil penghargaan.
Perasmian pembukaan InTReD 2021 dengan tema “Beyond Boundaries: Humanizing Future – Proof Education” telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Profesor Ir. Dr. Ghazali Omar.
Dalam ucapan perasmiannya, Dr. Ghazali berkata, InTReD’21 adalah sebahagian daripada komitmen berterusan dan sumbangan UTeM kepada masyarakat selaras dengan slogan UTeM "Sentiasa Merintis, Sentiasa Mendahului".
Tambahnya, InTReD’21 turut telah mengadakan bengkel dalam talian bertemakan Penyesuaian Norma Baharu dalam Bilik Darjah yang Inovatif dengan penyertaan ramai guru-guru sekolah di sekitar Melaka.
“Ini penting dalam memastikan kepakaran kami dalam pengajaran dan pembelajaran teknikal dikongsi dan diperluaskan kepada masyarakat secara amnya bersesuaian dengan Tema InTReD’21.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peserta dan penaja yang telah menjayakan InTReD'21 dan saya berharap output InTReD'21 seterusnya akan memberi impak positif dan produktif kepada semua pihak selain menjurus UTeM ke arah inovasi yang mampan dan berkembang maju dalam perjalanan pengajaran dan pembelajaran,” ujar beliau di akhir ucapannya.
Upacara penutup pula telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Profesor Dr. Zulkifilie Ibrahim.