Menyelami keperitan mangsa banjir maka Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menggerakkan sukarelawan bagi menjayakan misi bantuan pasca banjir di Bentong, Pahang.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif berkata, UTeM sentiasa cakna dan prihatin terhadap mangsa banjir lalu menggerakkan misi bantuan ini.
Jelasnya, misi ini telah melibatkan seramai 70 orang penuntut UTeM yang terdiri daripada Kor Suksis, Kelab Fasasi, Tuah Volunteer Team (TVT) dan 5 orang staf Pejabat Hal Ehwal Pelajar.
Katanya, pasukan sukarelawan UTeM telah menggembeling tenaga membersihkan semula Sekolah Kebangsaan Bukit Piatu, Bentong yang juga menjadi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kawasan tersebut dengan menempatkan 1,092 mangsa daripada 290 Keluarga.
“Pasukan sukarelawan UTeM telah mengambil masa selama 2 hari iaitu pada 1 dan 2 Januari bagi menyempurnakan kerja-kerja pembersihan di sekolah berkenaan,” katanya lagi dalam kenyataan yang diberikan hari ini.
Dr Sabri turut mengucapkan syabas dan merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam misi ini kerana bersama menjayakan misi ini.
Sementara itu, Pengarah Pusat Sukan UTeM merangkap Ketua Misi UTeM ini, Profesor Madya Ts Dr Mohd Sanusi Azmi berkata, antara aktiviti yang telah kami lakukan adalah membersihkan Makmal Komputer dan bilik darjah yang telah rosak sepenuhnya.
Ujarnya lagi, mereka turut membersihkan kantin serta kelas-kelas yang digunakan oleh mangsa banjir seramai 1092 orang di sekolah berkenaan yang turut berfungsi sebagai PPS.
“Diharapkan apa yang telah kami lakukan ini sedikit sebanyak turut melancarkan proses kesediaan ruangan bilik-bilik kelas bagi persediaan untuk sesi persekolahan yang dijangka akan kembali bermula pada 10 Januari nanti,” katanya.
Tambah Dr Sanusi, selama 2 hari kami menjayakan misi bantuan pembersihan ini kami turut menyelami emosi dan perasaan mangsa-mangsa banjir di sini yang ada dalam kalangan mereka telah mengalami kehilangan harta benda sepenuhnya.
“Diharapkan ada lagi pihak-pihak di luar sana yang sudi untuk bersama menghulurkan bantuan atas kapasiti dan keupayaan masing-masing agar dengan sedikit bantuan kita dapat meredakan keperitan yang mereka tanggung,” tambahnya lagi ketika berkongsi pengalamannya di sana.