MELAKA, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi Pusat Pengkomersialan UTeM (UCC), Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) telah menganjurkan Research and Innovation Expo 2021(UTeMEX) secara dalam talian.
Program ini telah membuka penyertaan pada 15 Ogos 2021 sehingga 31 Oktober 2021 yang lalu manakala tempoh penjurian diadakan pada 24 November 2021 sehingga 30 November 2021, seterusnya pengumuman keputusan pemenang bakal diadakan pada 8 Disember 2021 nanti.
UTeMEX merupakan karnival penyelidikan dan inovasi yang menghimpunkan kepakaran penyelidik dan peserta dalam produk inovatif selaras dengan aplikasi terkini yang mempunyai daya maju untuk dikomersialkan.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Profesor Ir. Dr. Ghazali Omar berkata, UTeMEX menyediakan platform serta memberi peluang pengalaman kepada penyelidik untuk membawa hasil penyelidikan ke pertandingan inovasi peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Jelas beliau, UTeMEX mempertandingkan sebanyak 9 kategori keseluruhanya turut dapat mempertingkatkan produk penyelidikan dan inovasi malahan dapat memperkukuhkan jalinan kerjasama erat antara industri, fakulti dan kumpulan penyelidik secara holistik supaya merangsang pembangunan produk ke arah pengkomersialan.
Pada kali ini setiap pemenang akan membawa pulang hadiah berbentuk medal dan wang tunai bagi penerima anugerah khas, pemenang tempat pertama, kedua, dan ketiga bagi setiap kategori.
Sementara itu, Pengarah UCC UTeM, Profesor Madya Dr Muhammad Herman Jamaluddin berkata, pada kali ini UTeMEX memperkenalkan satu kategori baharu iaitu Young Invention yang menyasarkan penyertaan dari kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.
Jelas beliau lagi, hasil daripada inovasi tersebut akan dikomersialkan dan memberi memanfaat kepada masyarakat, komuniti dan industri yang bersesuaian dengan konsep Technology @ University Advancing Industry (TUNAI).