Skip to main content
Universiti Teknikal Malaysia Melaka(UTeM) menerusi Jabatan Pengkomputeran Pintar dan Analitik serta Kelab Kepintaran Buatan, Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) dengan kerjasama organisasi Women in AI Malaysia telah menganjurkan program WAI Malaysia Summit @ UTeM 2021 secara maya, baru-baru ini.
 
Pengarah Program dan juga pensyarah Jabatan Pengkomputeran Pintar dan Analitik, FTMK, Dr Nur Zareen Zulkarnain berkata, program yang diadakan selama seminggu ini telah berjaya menghimpunkan para pelajar, ahli akademik, penyelidik, usahawan, pembuat dasar serta pengamal industri dari dalam dan luar negara.
 
Jelas beliau, program yang bertemakan “AI for Everyone” ini bertujuan memupuk kemahiran dan menambah pengalaman para peserta dalam bidang kepintaran buatan dan sains data tanpa mengira latar belakang dan tahap kemahiran mereka.
 
Katanya, antara pengisian program ini adalah seperti webinar dan forum dari pihak industri, perkongsian penyelidikan terkini dari ahli akademik yang menghimpunkan pakar-pakar dari bidang berkaitan bagi membincangkan tajuk “Data and Science: What’s Next About Covid 19 in Malaysia”.
 
Selain itu, para peserta program ini turut berpeluang mendengar ucaptama dari pakar bidang kepintaran buatan dan sains data iaitu Prof. Ts. Dr. Rose Alinda Alias dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pengerusi Skymind Holdings Bhd, Datuk Yasmin Mahmood, .
 
Sementara itu, Penyelaras Program ini, Profesor Madya Ts. Dr. Sharifah Sakinah Syed Ahmad berkata, selain daripada aktiviti persidangan, para peserta turut berpeluang menyertai 1 daripada 2 pertandingan iaitu UTeM Datathon dan AI Lab Hackathon yang mana hadiah pertandingan tersebut telah ditaja oleh UTeM dan Microsoft.
 
Ujarnya, penganjuran program tersebut turut menjadi platform kepada staf dan pelajar UTeM mendapat pendedahan serta perkongsian menarik dari pemain industri sebenar secara terus berhubung kolaborasi penyelidikan bersama dan juga peluang kerjaya buat graduan.
 
"Secara keseluruhan, program ini dilihat berjaya mencapai objektif menyatukan ahli akademik dan pemain industri serta membuka peluang bagi penggemar bidang kepintaran buatan dan data sains untuk mendekatkan diri mereka dengan kedua-dua bidang ini biarpun secara maya," ujarnya lagi.