Skip to main content
Melaka – Bak kata pepatah "di mana ada kemahuan di situ ada jalan", begitulah perumpamaan yang sesuai digambarkan buat seorang alumni Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang telah berjaya sebagai usahawan tani dalam penanaman komersial Rock Melon dengan sistem Fertigasi di Pulau Gadong, Melaka. 
 
Oh Yih Peng, 30 tahun, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi dengan Kepujian (Pemasaran Teknologi Tinggi), UTeM pada tahun 2015 yang lalu. 
 
Beliau seterusnya turut menyambung pengajian dan telah berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (Pengurusan Operasi Termaju) UTeM juga pada tahun 2018.
 
Beliau yang memulakan projek penanaman komersial dengan mengusahakan ladang Rock Melon dengan sistem Fertigasi ini juga berhasrat untuk membuka ladang cili dengan sistem Internet of thing (IoT) pada masa yang akan datang.   
 
Oh Yih Peng berkata, terdapat 2 faktor yang mendorong beliau menjadi usahawan tani ini iaitu faktor dalaman dan luaran yang mana faktor dalamannya adalah beliau ingin memiliki hasil yang telah diusahakan berterusan. 
 
Ujarnya, faktor kedua pula beliau ingin membantu membangunkan negara dengan mencipta peluang pekerjaan di samping membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk menaikkan taraf hidup. 
 
Seperti mana sedia maklum saluran biasa bagi memasarkan hasil tanaman usahawan tani melalui Federal Agricultural Marketing Authority (FAMA), namun tidak bagi beliau yang memilih penjualan secara dalam talian selari dengan perkembangan semasa kini ekoran pelangganlebih cenderung membuat pilihan pembelian dalam talian.
 
“Alumni UTeM ini turut menyatakan UTeM sendiri antara yang membantu bilamana menyediakan dana 'start-up business' untuk pelajar memulakan perniagaan sendiri di dalam kampus dan ini akan mendorong lebih banyak usahawan dilahirkan dari kalangan pelajar UTeM,” katanya. 
 
Katanya lagi pengajian di UTeM bukan semata-mata mentelaah buku dan menduduki peperiksaan sahaja, ia memerlukan pelajar membuat tugasan dan penyelidikan pada setiap subjek dipelajari supaya dapat memahami ilmu lebih mendalam melalui temuramah dan analisis terhadap syarikat multinational atau usahawan yang berjaya.  
 
Mengimbau sewaktu beliau di peringkat pengajian ijazah pertama dulu beliau berkongsi kisah kecemerlangannya apabila beliau pernah menerima anugerah seperti Anugerah Dekan bagi 8 semester dari tahun 2011 hingga tahun 2015 dan beliau turut menerima Anugerah Industri pada Majlis Konvokesyen kesebelas pada tahun 2015 yang lalu.  
 
Beliau yang berhasrat menjadi pakar dalam bidang pertanian Rock Melon dan perniagaan turut memenangi pertandingan Redtone Smart Farming Digital Drives Sustainable Farming Contest yang diadakan secara dalam talian dan membawa pulang hadiah berupa Smart Fertigation system bernilai RM35,000 baru-baru ini. 
 
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, pihaknya teruja dengan pencapaian alumni UTeM berkenaan kerana menggambarkan penzahiran peranan UTeM melahirkan graduan unggul bukan hanya dalam bidang kejuruteraan atau teknologi semata-mata malahan mampu mengaplikasikannya dalam realiti sebenar dunia keusahawanan agrotani.