Skip to main content
MELAKA: Kumpulan penyelidik dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya merangkul 10 pingat pada acara Virtual International Research and Innovation Symposium and Exposition (RISE 2020).
 
Program anjuran Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) itu baru sahaja mengumumkan keputusan baru-baru ini hasil daripada pertandingan tersebut yang telah berlangsung bermula 1 hingga 20 November 2020.
 
Pertandingan itu disertai oleh institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari dalam negara serta seluruh dunia dengan lebih 250 produk inovasi dipertandingkan.
 
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim berkata, UTeM terus komited dalam aspek menyemarakkan budaya penyelidikan dan inovasi dan kejayaan demi kejayaan dikecapi pada tahun ini.
 
Jelasnya pada penyertaan UTeM di RISE 2020 berjaya memperolehi pencapaian penuh apabila kesemua produk inovasi yang dipertandingkan berjaya merangkul pingat.
 
“Daripada 10 pingat yang telah dimenangi, UTeM berjaya merangkul 5 pingat emas, 4 pingat perak dan 1 pingat gangsa sekali gus memberi gambaran hasil inovasi universiti ini terus diiktiraf diperingkat antarabangsa.
 
“UTeM telah menetapkan penyertaan bagi penyelidikan yang berkualiti dan memberi fokus kepada kumpulan produk inovasi bagi manfaat masyarakat serta komuniti dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
 
Pada RISE 2020 versi atas talian itu, 5 pingat emas yang dimenangi UTeM antaranya menerusi 3 produk yang terdiri daripada New Concept VIEKC, HiT oK dan UDe HaB diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Yuhazri Yaakob.
 
Manakala 2 produk lagi adalah ECOCO – The Eco Material for Desiccant Dehumidifier diketuai Norain Idris dan V-Lego block pula diketuai oleh Dr. Norfariza Ab Wahab.
 
Empat produk inovasi UTeM yang telah berjaya mendapat pingat perak pula adalah
A Controllable Transmission Ratio using Single Actuator Double Acting Electro-Mechanical Continuously Variable Transmission System, Biocomposite Filament for 3D Printer, R3 Cut dan Kebat Guni Organik.
 
Sementara itu, 1 pingat gangsa pula diraih oleh produk inovasi Development of HVAC Virtual Laboratory (HV-LAB ver 1.0); Recirculation Air Conditioning System Training Unit (RACSTU) Using MATLAB/SIMULINK.
 
Kesemua penyelidik dari UTeM yang menyertai dan memenangi pingat ini adalah merupakan tenaga pengajar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP).