Dekan Pusat Pengajian Siswazah (PPS), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Dr Noreffendy Tamaldin berkongsi kepakaran kejuruteraan automotif di Persidangan Pendidikan Tinggi Antarabangsa, Afrika.
Persidangan ini berlangsung secara atas talian dari 8 hingga 10 Disember lalu merupakan anjuran Persatuan Antarabangsa Kejuruteraan Industri dan Pengurusan Operasi (IEOM) dan Universiti Zimbabwe menjadi tuan rumah kali ini.
Dr Noreffendy berkata, persidangan kali ini secara umumnya berkisarkan kepada bagaimana menangani isu-isu pendidikan kejuruteraan global dan kesediaan graduan kejuruteraan berhadapan dengan senario dan lanskap dunia semasa.
Jelasnya, dalam konteks ini beliau berkongsi pengalaman menerusi cabang cabaran bidang kejuruteraan automotif menelusuri evolusi yang kini dalam berada dalam Revolusi Industri 4.0.
Katanya, bidang automotif ini terus berkembang mampan seiring dengan permintaan dunia di samping impak rantaian hubungan strategik antara universiti, industri dan pelbagai negara secara bersepadu.
“Sebagai contoh bagaimana UTeM menjayakan penyelidikan antarabangsa menerusi dana penyelidikan antarabangsa Eropah, Erasmus+ CBHE (Capacity Building Higher Education) bagi menjalankan kerjasama strategik terhadap kajian jurang keperluan tenaga kerja dan teknologi dalam industri automotif.
“Pengiktirafan itu sekali gus bukan sahaja menjadikan UTeM dipercayai di mata dunia malah universiti awam itu berada di landasan tepat apabila terpilih mewakili negara menerima geran terbabit selepas Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Penyelidikan ini turut membabitkan kerjasama penyelidikan melalui geran padanan antara universiti penyelidikan (RU), universiti sains gunaan (UAS) dan industri automotif di 6 negara iaitu 3 di Eropah (Austria, Germany, Italy) dan 3 di Asia Tenggara (Malaysia, Indonesia, Thailand).
Katanya, menyentuh tentang keperluan pasaran dunia pula, kajian berkenaan membabitkan pemindahan teknologi automotif dari negara maju seperti Kesatuan Eropah untuk dikongsi dengan negara serantau Asia Tenggara.
"Sementara itu dalam aspek variasi dan impak pula dizahirkan apabila penekanan dalam kajian ini adalah berteraskan kepada ilmu kejuruteraan, pemindahan teknologi, meningkatkan kebolehpasaran graduan, dan pembangunan dasar.
"Bagaimana membentuk pelajar lebih ke hadapan dalam bidang automotif dan teknologi, tidak ketinggalan selepas masuk dalam industri," katanya ketika diminta mengulas berhubung perkongsian beliau dalam persidangan tersebut.
Mengulas lanjut beliau berkata, dapatan kajian ini semestinya telah berjaya memberikan gambaran analisa jurang teknologi dan kurikulum antara institut pengajian tinggi (IPT) dengan industri automotif dalam negara sekaligus tindakan susulan bersesuain boleh dilaksanakan bagi peringkat seterusnya.