Skip to main content
Pelajar Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Aiman Shafiq Azizan dipilih sebagai Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTeM Sesi 2020/2021.
 
Aiman Shafiq menerima simbolik penyerahan watikah pelantikan daripada Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Sesi 2020/2021 dan Penghargaan MPP UTeM Sesi 2018/2019 ini di Dewan Auditorium, Bangunan Canselori, kampus induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka, baru-baru ini.
 
Selain itu, Timbalan Yang Dipertua MPP UTeM, Muhammad Isa Ishak, Setiausaha Agung MPP UTeM,  Mohd Hasif Hamzi Mustaffi, Setiausaha Kerja, Nurul Khalida Kasim dan Bendahari Kehormat MPP UTeM, Nur Syahira Yusra Md Samsuddin turut menerima watikah pelantikan masing-masing.
 
Majlis itu turut menyaksikan bacaan ikrar oleh seramai 32 pelajar ahli MPP yang juga barisan kepimpinan baharu MPP UTeM Sesi 2020/2021.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim menyampaikan ucapan syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang telah berjaya dipilih sebagai barisan MPP kerana telah meraih kepercayaan daripada rakan-rakan pelajar serta warga pelajar UTeM sebagai wakil untuk menyuarakan idea serta berkongsi pandangan yang sangat diperlukan oleh pihak pengurusan universiti.
 
Jelasnya, MPP juga bertanggungjawab dalam merancang dan mengendalikan pelbagai aktiviti yang berfaedah bagi mewujudkan suasana kehidupan pelajar universiti yang lebih ceria dan harmonis.
 
“Di samping itu, saya berharap agar peranan dan fungsi barisan MPP UTeM ini dapat menjadi penghubung dan pengantara terbaik antara pihak universiti dan pelajar dalam mengurus tadbir universiti,” ujarnya sewaktu menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.
 
Majlis turut disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Madya Dr Nurulfajar Abd Manap, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr Zulkifilie Ibrahim, Penolong Naib Canselor Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti, Prof. Madya Mohd Rahimi Yusoff dan Penolong Naib Canselor, Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Madya Ir Dr Md Nazri Othman.