Skip to main content
Bagi peringkat kelima ini seramai 127 orang penuntut UTeM yang telah berjaya melepasi saringan kesihatan dihantar pulang ke Zon Tengah 2 iaitu negeri Perak malam tadi.
 
Ianya turut disertai 4 orang penuntut dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Politeknik Ibrahim Sultan (PSI) sekaligus menjumlahkan seramai 131 orang semuanya.
 
Perjalanan kumpulan ini mula bertolak dari Dewan Canselor, kampus induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka sekitar jam 9 malam tadi.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, operasi penghantaran ke Zon Tengah 2 ini melibatkan 10 buah bas dan sebuah van.
 
Jelas beliau, perjalanan penghantaran ini melibatkan 10 destinasi di negeri Perak iaitu Tanjung Malim, Tapah, Hilir Perak, Kuala Kangsar, Gerik, Taiping, Kerian, Manjung dan Perak Tengah.
 
Sementara itu, berhubung aspek pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP), Dr Raha berkata ianya dilaksanakan dengan jayanya oleh semua pihak terbabit termasuklah proses dinyah cemar oleh Jabatan BOMBA terhadap semua bagasi pelajar, bas dan van yang digunakan.
 
"UTeM merakamkan penghargaan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Jabatan BOMBA, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta agensi yang terlibat sama dalam menjayakan operasi ini," ujarnya lagi.
 
Mengulas lanjut beliau berkata, sehingga kini, pihak UTeM telah pun menyempurnakan 4 operasi penghantaran pulang penuntutnya yang mana peringkat pertama bagi Zon Selatan, peringkat kedua ke Zon Tengah 1, peringkat ketiga penghantaran pulang ke Sarawak dan yang terbaru 7 Mei lalu peringkat keempat yang merupakan penghantaran ke Zon Timur.