Skip to main content
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) turut menjadi pilihan kepada golongan yang sedang bekerja melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda separa masa.
 
Selari itu, UTeM menerusi Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (PPSH) telah menerima pendaftaran seramai 22 orang pelajar baharu bagi program ijazah sarjana muda separa masa semester 2 sesi 2019/2020.
 
Pendaftaran tersebut telah diadakan bertempat di Kampus Teknologi UTeM, Ayer Keroh, Melaka pada pada 12 Februari lalu dan diteruskan sehingga 14 Februari bagi memudahkan serta memberi peluang kepada pelajar baharu mendaftar di sini.
 
Terdapat dua pertambahan kumpulan pelajar yang memohon yang mana berfokuskan kepada dua fakulti utama UTeM iaitu Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal bagi sesi pendaftaran kali ini.
 
Pengarah PPSH, UTeM, Prof. Dr. Abdul Rani Othman berkata, pendaftaran yang diterima amat menggalakkan terutamanya dari kalangan mereka yang sedang bekerja dari pelbagai bidang terutamanya sektor perindustrian.
 
Jelas beliau, ini adalah ekoran kerana UTeM sendiri mempunyai hubungan baik dan strategik bersama industri melalui pelbagai program yang djayakan UTeM antaranya seperti CEO Faculty, memorandum persefahaman dan memorandum perjanjian bersama pihak industri.
 
Sementara itu Naib Canselor UTeM Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, pengajian separa masa ini adalah peluang keemasan kepada mereka yang sedang berkerja melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi lagi dalam usaha meningkatkan tahap pendidikan sekaligus membantu menambahbaik kerjaya mereka pada masa akan datang.
 
Tambah beliau lagi, UTeM juga sentiasa bekerjasama dalam menghasil dan membekalkan tenaga kerja profesional yang terdiri daripada para pelajar UTeM yang cemerlang dalam bidang teknikal dan TVET.
 
"Ternyata, UTeM lah merupakan destinasi terbaik bagi segenap golongan termasuk yang sedang bekerja bagi melanjutkan pengajian kerana apa yang dicari telah pun disediakan oleh kami di sini yang selari dengan acuan industri dan pelbagai sektor peringkat nasional dan global," ulasnya lagi.