Skip to main content
Seramai 4 orang atlet yang merupakan staf Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya menyumbangkan 2 pingat dalam acara olahraga kepada negeri Melaka di Kejohanan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Olahraga Malaysia, baru-baru ini.
2 pingat berkenaan adalah 1 pingat perak bagi acara kuarted 4 x 100 meter manakala 1 pingat gangsa pula menerusi acara lontar peluru sekaligus berjaya menambahkan koleksi pungutan pingat kepada negeri Melaka.
Daripada 4 atlet acara kuarted 4x100 meter, 3 orang merupakan staf UTeM iaitu Shamsul Bahari Azraai yang merupakan Pensyarah Kanan dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Shamsul Sabtu merupakan Pemandu Kenderaan daripada Pejabat Penolong Naib Canselor (Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti) dan Shahran Mohsen yang merupakan Penolong Jurutera di Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar).
Pingat gangsa bagi acara lontar peluru pula telah disumbangkan oleh Mohd Zin Kasri yang juga merupakan Pemandu Kenderaan Pejabat Penolong Naib Canselor (Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti).
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim gembira atas penglibatan dan kemenangan yang telah dicapai oleh kakitangan UTeM menerusi bidang sukan yang disertai mereka.
Jelas beliau, kejayaan tersebut turut membuktikan bahawa kakitangan UTeM yang terdiri dari pelbagai gred dan latar belakang bukan sahaja menyerlah dalam tugas hakiki semata-mata malahan turut berkebolehan dan punyai bakat besar dalam pelbagai bidang sukan.
"Ianya selari dengan objektif penganjuran Kejohanan Olahraga MAKSAK Malaysia bagi mengasah dan memperkembangkan bakat para atlet dalam bidang sukan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa," ujarnya lagi.