Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menyerlah dalam penghasilan produk inovasi menerusi penyelidikan yang dijalankan oleh barisan penyelidiknya.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, antara produk inovasi yang telah dihasilkan oleh penyelidik UTeM adalah Sistem Perangkap Sampah Sungai / River Trash Collector System Mark III (RTCS).

Jelas beliau, dapatan ini menzahirkan UTeM turut berperanan dalam menyumbangkan kepakaran dan inovasi secara langsung kepada negara ini.

Katanya, dengan kepakaran dan teknologi inovasi yang telah dihasilkan ini sekaligus memberikan nafas baru dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan sungai dan pantai dalam negara kita.

Inovasi ini dihasilkan bersama oleh Jurutera Pengajar Kanan, Ts. Mohd Idain Fahmy, Pensyarah Matematik, Fariduddin Mukhtar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP) bersama dengan ahli-ahli kumpulannya.  

Menurut Ts. Mohd Idain, sistem ini secara fizikalnya berfungsi dengan integrasi sistem Internet of Thing (IoT) di samping pemantauan dalam talian menerusi pusat kawalan, aplikasi android dan sistem pesanan ringkas.

 

Jelasnya, RTCS boleh diintergrasi dengan sistem janaan kuasa melalui solar panel dan mini water turbine selain bekalan 240v dari grid tempatan di samping ianya boleh dioperasikan secara individu, 1 kumpulan di dalam kawasan yang sama atau beberapa kumpulan di kawasan yang berlainan.

Katanya, mereka telah memulakan pembangunan produk ini dengan kajian awal telah bermula sejak 2016 lagi dan masih berlangsung sehingga produk matang.

Ulas beliau, RTCS ini dibina berasaskan konsep Components on the shelf (COTS) seperti profile aluminium, fiberglass dan kepingan aluminium selain dilengkapi linear actuator dan sensor-sensor lain.

Penyelidikan dan inovasi RTCS dibangunkan dengan dana geran UTeM menerusi geran Penyelidikan Jangka Pendek (PJP) sebanyak RM 25,000.00 dan turut menerima geran pengkomersilan Malaysia Technical University Network (MTUN) sebanyak RM 30,000.00

Ianya turut mendapat sokongan penuh kerajaan Negeri Melaka melalui Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) di bawah anak syarikat, Sungai Melaka Ventures Sdn. Bhd.

Menurut beliau, potensi RTCS amat luas penggunaannya kerana ianya meliputi industri pembersihan bagi mengawal pencemaran sampah terapung, industri berkaitan pemantauan kawalan sekitar bagi mengenal pasti punca pencemaran.

“Di samping itu ianya turut boleh diaplikasikan dalam industi berkaitan dengan perkapalan, petroleum dan gas bagi mencegah dan mengawal tumpahan minyak.

“Sehubungan itu, ianya tentu berkait rapat dengan pihak yang berkaitan dengan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar seperti Jabatan Pengaliran & Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), badan-badan korporat, syarikat-syarikat swasta dan NGO-NGO yang berkaitan,” ujarnya lagi.

 

RTCS telah mencipta nama dan diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa apabila telah berjaya mencapai Anugerah Khas dari wakil syarikat Jepun, Earth Doctor General Incorporated Association di International Conference and Exposition on Inventions by Institutions of Higher Learning (PECIPTA’19) di Univerti Tun Hussien Onn (UTHM).

Meraih pingat perak di 3rd National Innovation Competition 2018 (3rd INNOCOM 2018) di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, Perlis.

Di samping turut berjaya merangkul pingat gangsa di PECIPTA 19 dan Pertandingan Rekacipta & Inovasi Institsi Pengajian Tinggi Swasta 2016 (PERINTIS’16) di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

RTCS telah dibangunkan bersama ahli-ahlinya yang lain yang memiliki pelbagai kepakaran iaitu Ts. Wan Norhisyam Abd Rashid, Dr Abdul Munir Syah Lubis, Professor Ts. Dr. NorEffendi  Tamaldin dan Ts. Dr Fariza Abdul Wahab dari UTeM dan Dr. Khairil Mahmud dari Universiti Putra Malaysia.