

Bersempena dengan bulan Akademia maka Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan dua Program “Chancellor’s Talk” bertempat di Dewan Canselor UTeM, Kampus Induk, Durian Tunggal, Melaka.
Kedua program ini menzahirkan perkongsian kepakaran 2 orang tokoh dalam negara yang berjasa dalam bidang masing-masing, program “Chancellor’s Talk” pertama telah disampaikan oleh Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan bagi tahun 1441H iaitu Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang pada 1 Oktober 2019 lalu.
Manakala Program “Chancellor’s Talk” kedua pula disampaikan oleh bekas Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad dan kini berkhidmat sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Tan Sri Wahid Omar.
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim dalam ucapan aluan kedua-dua majlis bersyukur dan mengalu-alukan ketibaan dan kesudian kedua-dua pengucaptama di atas kesudian mereka untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman meluas bersama seluruh warga Universiti dalam menyokong pembangunan modal insan yang lebih cemerlang.
Ulas beliau, UTeM berasa amat bertuah di atas perkongsian dari kedua-dua insan ternama ini dalam menyemarakkan lagi sambutan bulan akademik di UTeM bagi sepanjang Oktober lalu.
Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dalam ucaptamanya telah memfokuskan kepada kepada tajuk Ecoshift: A Leadership Framework and Practices manakala Tan Sri Abdul Wahid Omar telah berkongsi pengalaman beliau menerusi topik Purposeful Leadership and Sustainability.
Terdahulu, UTeM telah berjaya menganjurkan beberapa siri “Chancellor’s Talk” dengan pengucaptama dari kalangan tokoh-tokoh negarawan, ilmuan dan cendiawakan negara seperti Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob dan Academician Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali.