Pejabat Naib Canselor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima kunjung hormat daripada delegasi Cybersecurity Malaysia dan YAKSHA baru-baru ini.
Dalam kunjungan tersebut, Cybersecurity Malaysia diwakili oleh Ketua Pegawai Operasinya, Ts Dr. Zahri Yunos yang hadir bersama Ketua Projek YAKSHA, Alessandro Guarino ke Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.
Naib Canselor UTeM, Prof. Dr. Raha Abdul Rahim menyatakan kunjung tersebut adalah sebahagian daripada pengisian pertemuan berkala pihak Cybersecurity Malaysia dan UTeM yang sedang menjalankan penyelidikan mereka bersama Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) di sini.
Jelasnya, pihak UTeM terus komited dalam menyumbang dan berkongsi kepakaran yang dimilikinya menerusi barisan penyelidik dan kakitangan akademik yang berpengalaman luas dalam teknologi maklumat dan komunikasi khususnya cybersecurity ini.
"Di samping itu dengan adanya kelengkapan fasiliti makmal canggih dan teknologi terkini yang terdapat di UTeM seiring dengan kemajuan dan peredaran global maka ianya turut melancarkan proses penyelidikan bersama ini," ujar beliau lagi.
Pada kunjungan kali ini mereka turut tidak ketinggalan dalam membincangkan mengenai hala tuju selanjutnya bagi pengisian kerjasama di antara Cybersecurity Malaysia dan UTeM.