Skip to main content

Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan Pertandingan Inovasi FTKMP Design Day 2019 bertempat di Perkarangan Lobi Kampus Teknologi UTeM, Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.

Penganjuran kali kedua ini telah dibahagikan kepada lima kategori utama iaitu merekabentuk model kereta SUV bertemakan Malaysia, mereka bentuk sistem penyaman udara, perlumbaan kereta mini, mereka bentuk produk bertemakan “human interactive” dan simulasi menggunakan “konsep Computer Aided Engineering”.

Dekan FTKMP, Prof. Madya Dr. Umar Al-Amani Azlan berkata, melalui pertandingan ini pelajar dapat mendalami aplikasi sebenar kaedah merekabentuk dalam industri yang mana sasaran penyertaan pertandingan ini adalah pelajar tahun 1 hingga ke tahun 3 agar ia menjadi platform terbaik untuk persediaan pelajar sebelum mereka membuat projek sarjana muda pada tahun akhir nanti.

Jelas beliau, salah satu pertandingan dalam tersebut adalah merekabentuk model kereta SUV bertemakan Malaysia di mana tugasan ini diberi secara 'Problem Based Learning' untuk mereka bentuk data kejuruteraan & prototaip Kenderaan yang berfungsi menggunakan Perisian CATIA V5 dan dicetak menggunakan 3D printer (Selective Laser Sintering)

Katanya, tugasan & pertandingan ini mengambil konsep dari industri automotif untuk menghasilkan sesebuah kenderaan di mana para pelajar diberikan tiga belas minggu untuk menyiapkan tugasan ini sebagai salah satu persediaan awal kepada mereka sebelum menempuhi alam pekerjaan.

Pertandingan ini telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan & Jaringan Industri) Prof. Madya Dr. Mohd Yuhazri Yaakob dan memetik kepada ucapan beliau dalam majlis perasmian tersebut, beliau menyatakan bahawa pertandingan sebegini merupakan pendedahan awal kepada para pelajar dalam proses penghasilan sesuatu produk supaya apa yang dipraktis di dalam bilik kuliah selaras dengan keperluan pihak industri.

Tambah beliau, para pelajar di FTKMP akan digilap untuk menyertai lebih banyak lagi pertandingan inovasi di peringkat universiti hingga ke peringkat dunia bagi melahirkan lebih ramai bakal graduan yg berkompeten tinggi.

Hasil rekaan yang dinamakan Kenderaan XLR8 telah dinobatkan sebagai juara pertandingan mereka bentuk FTKMP Design Day 2018 di mana rekaan tersebut yang mengambil sedikit inspirasi daripada rekabentuk kenderaan Eropah dan disesuaikan dengan elemen Malaysia.

Ketua kumpulan Kenderaan XLR8, Muhammad Naim Norazuan menerangkan bahawa nama XLR8 tersebut diambil dari perkataan ‘Accelerate’ dan memberitahu bahawa beberapa bahagian rekaan mereka seperti chassis reka bentuk kenderaan tersebut direka lebih tinggi supaya nampak mewah serta “sporty” dan manakala bahagian bumper direka lebih tajam dan garang serta lebih aerodinamik untuk membelah rintangan angin

Beliau turut memberitahu bahawa pertandingan ini telah memberi pendedahan kepada beliau dan ahli kumpulan terhadap aplikasi teknologi terkini seperti rekabentuk terbantu komputer dan cetakan 3D dalam merekabentuk dan menghasilkan prototaip kenderaan berskala kecil yang mampu berfungsi mengikut spesifikasi yang ditetapkan.