Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) terhadap golongan komuniti sepanjang tahun termasuklah sempena dengan bulan sambutan perayaan Aidilfitri ini.
Selari dengan itu maka seramai 45 orang daripada kalangan staf, pelajar dan alumni UTeM telah melaksanakan program Sadaqah Musafir 3.0 bertempat di Melaka Sentral pada 31 Mei 2019 lalu.
Program ini fokus kepada menyantuni seribu dua ratus orang musafir yang pulang berhari raya ke kampung halaman sempena Aidilfitri ini di Melaka Sentral yang terdiri daripada kalangan orang ramai, para pemandu bas dan juga kakitangan di situ.
Pengarah Program Sadaqah Musafir, Omar Abdul Aziz berkata, ini adalah sebagai usaha penghayatan bulan Syawal yang melibatkan kerja-kerja kebajikan dan sukarelawan bagi mengagih juadah ringan kepada para musafir yang menggunakan perkhidmatan bas di sini.
Jelas beliau, kami turut mengedarkan brosur informasi berkaitan universiti dan tazkirah sebagai bacaan ringan kepada para musafir di sepanjang perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.
Kami jadikan platform ini sebagai program tahunan kerana mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari para penyumbang dan sokongan yang padu dari pihak pengurusan UTeM.
Program ini merupakan anjuran Backpackers Adventure Team (BAT), Badan Kebajikan Staf Universiti Teknikal Malaysia (BAKUTeM) dan kelab pelajar Kelab Rekreasi dan Sukan Ekstrem (KEREX) serta kerjasama pihak Melaka Sentral Sdn. Bhd.
Di samping itu beliau mewakili penganjur merakamkan penghargaan kepada kepada syarikat korporat seperti Mamee – Double Decker (M) Sdn Bhd di atas sumbangan berbentuk makanan ringan dan orang persendirian yang menyumbang bagi merealisasikan program ini.
Program ini juga turut menzahirkan bahawa UTeM terus menzahirkan program-program kebajikan dan kemasyarakatan yang sedikit sebanyak dapat menyemai sikap prihatin di kalangan warga UTeM khasnya dan masyarakat setempat amnya.