Skip to main content

Sekretariat Harmoni, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menjayakan aktiviti kesukarelawan di Hospital Jasin, Melaka, baru-baru ini.

Program yang dikenali sebagai Jalinan Harmoni ini telah melibatkan penglibatan seramai 38 orang mahasiswa UTeM.

Terdahulu, para sukarelawan telah diberikan taklimat oleh pihak Hospital Jasin yang disampaikan oleh Pegawai Perubatan Dr Mas Siti Aishah  Masika berhubung prosedur dan panduan yang perlu diikuti dalam menjayakan program di situ.

Pengarah Program Nur Aifaa Shamshol Ali berkata, antara objektif program ini adalah bertujuan untuk melatih diri mahasiswa menyantuni masyarakat serta melatih mereka untuk melibatkan diri bersama masyarakat awam.

Jelas pelajar tahun 4 Fakulti Kejuruteraan Elektrik itu, menerusi program ini, para sukarelawan telah dipecahkan kepada tiga jenis wad iaitu wad lelaki, wad perempuan dan wad kanak-kanak.

Walaupun Sekretariat Belia Harmoni UTeM lebih khusus kepada pelajar muslim, namun ianya turut mendapat penglibatan daripada mahasiswa yang berlainan agama.

Salah seorang dari mereka, Tamilselvan A/L Ganesan pelajar tahun 1 Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer berkata, ini merupakan program sukarelawan pertama yang saya ikuti dan menjadi kenangan yang terindah buat saya.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Harmoni UTeM, Muhammad Sajjad Hasan amat gembira dan berterima kasih kepada semua peserta kerana sudi bersama menjayakan program berimpak ini.

“Program curahan kasih antara mahasiswa dan para pesakit di hospital ini merupakan satu platform yang berjaya menzahirkan bahawa pelajar universiti sentiasa prihatin kepada komuniti,” ujar beliau.

Setiausaha Sekretariat Harmoni, Nurul Atiqah Abdul Sabeth yang merupakan pelajar tahun 4, Fakulti Kejuruteraan Elektrik berkata, program ini bukan sahaja melatih membentuk dalaman mahasiswa malahan ianya juga dapat memberikan kegembiraan kepada para pesakit lebih-lebih lagi kepada golongan warga emas.

Salah seorang pesakita wanita yang berusia lingkungan 60 tahun ketika ditemui melahirkan perasaan yang sangat gembira pada hari tersebut kerana dapat bertemu dan berbual dengan ramai orang dalam kalangan mahasiswa UTeM.

“Makcik berharap mereka akan terus melakukan aktibiti sebegini kerana keberadaan mereka menceriakan kami pesakit di sini,” ujar beliau meluahkan rasa hatinya.