Skip to main content

Pejabat Bendahari, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima sumbangan wang Zakat sebanyak RM30,000 daripada Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB)bagi tujuan pengagihan kepada golongan pelajar yang memerlukan.  

Sumbangan tersebut telah disampaikan sendiri oleh pihak BIMB kepada pihak UTeM dalam satu majlis ringkas bertempat di Bangunan Canselori, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka, baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, sumbangan zakat yang diserahkan oleh BIMB tersebut merupakan sumbangan untuk diagihkan kepada pelajar-pelajar UTeM dalam kategori kurang berkemampuan dan pendapatan keluarga di bawah kumpulan B40 yang memerlukan bantuan kewangan untuk meneruskan kelangsungan pengajian di universiti.

Tambah beliau lagi, pemberian zakat kepada UTeM tersebut adalah sebagai salah satu inisiasif Bank Islam untuk membantu pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan ini meneruskan pengajian di peringkat tinggi dan seterusnya mampu meningkatkan taraf hidup ekonomi keluarga setelah mereka tamat pengajian kelak.

Penyerahan replika cek dari BIMB telah diterima oleh Dr Shahrin disaksikan oleh pengurusan tertinggi UTeM termasuklah Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Prof Datuk Dr Mohd Razali Muhamad, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Prof Madya Dr Nurulfajar Abd Manap, Bendahari UTeM Khairul Taib dan Pengarah Pusat Islam UTeM Dr. Muhd Akmal Noor Rajikon.

Pihak BIMB diwakili oleh Pengurus Kanan Shariah Centre of Excellence, Zaini Maidin, Regional Deposit Business Manager (RDBM), Regional Office Southern, Mohamed Zaki Atip, Cash Management Manager, Cash Management, Muhammad Zafrie Ho Abdullah dan Deposit Manager, Rasul Zainal.

Penyerahan wang zakat ini merupakan sebahagian daripada agenda tahunan Bank Islam kepada UTeM untuk disalurkan kepada golongan pelajar yang kurang bernasib baik kerana UTeM sentiasa memberi keutamaan kepada kebajikan pelajar.