Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi Pusat Pembangunan Komuniti dan I-CoE, Pejabat Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) terus berinisiatif dalam memperluaskan peranan yang relevan dan dinamik sukarelawan kepada komuniti. 

Selari dengan itu maka Pusat Pembangunan Komuniti dan I-CoE, telah telah menganjurkan Program Sembang Santai membawakan topik perbincangan “Peranan Sukarelawan dalam Pembangunan Komuniti” baru-baru ini bertempat di Samsung IoT, Kampus Teknologi UTeM, Ayer Keroh.

Program ini turut disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bemban merangkap Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Dr. Wong Fort Pin bersama 80 orang sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa UTeM.

Pengarah Pusat Pembangunan Komuniti dan I-CoE, Prof. Madya Dr. Mohamad Zoinol Abidin Abd Aziz berkata, program sembang santai ini dianjurkan untuk memberi peluang kepada sukarelawan mahasiswa UTeM untuk memberikan pandangan dan bertukar idea berkaitan aspek kesukarelawanan.

Ujarnya lagi, kehadiran Dr. Wong Fort Pin adalah untuk bersama berkongsi pandangan kepada pelajar untuk terus berbakti kepada pihak yang memerlukan menerusi program kesukarelawanan tersebut.

"Sukarelawan mahasiswa UTeM turut didedahkan dengan peranan sukarelawan yang lebih jelas iaitu membantu masyarakat berdasarkan pengalaman dan keperluan yang ada dan tidak semestinya hanya menggunakan wang ringgit, namun kaedah bantuan turut boleh disalurkan menerusi pengorbanan masa untuk terlibat dalam mana-mana program sukarelawan," jelas beliau lagi.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UTeM, Prof. Dr. Goh Ong Sing dalam ulasan beliau menyatakan bahawa UTeM akan berterusan mengorak langkah dalam membantu komunitii termasuklah golongan  masyarakat orang asli dalam konteks menyediakan medan dan laluan pendidikan kepada mereka dengan sasaran bahawa ada di antara mereka dapat menyambung pengajian di UTeM pada tahun 2019 ini.

Katanya lagi, beliau berharap agar sukarelawan mahasiswa UTeM akan turut sama membantu dalam memperkasakan usaha berkenaan menerusi usaha sama seperti program tuisyen kepada anak-anak orang asli ini kelak.