Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mempergiatkan pelbagai usaha murni dan perkongsian kepakaran bersama dengan pihak industri multinasional dan juga tempatan.
Selari dengan itu, Pusat Hubungan Industri, Pejabat Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) (PNC JIM) dengan Kerjasama Pusat Kecemerlangan Penyelidikan (COE) dan Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) UTeM telah mengadakan lawatan kerja delegasi UTeM ke STMicroelectronic Sdn Bhd di Tanjong Agas Industrial Area, Muar Johor, baru-baru ini.
Delegasi UTeM bagi lawatasn balas ke kilang ini diketuai oleh Ketua Pusat Kecemerlangan UTeM, Prof Dato' Dr. Abu Abdullah bersama dengan Pengarah, Pusat Hubungan Industri, PNC JIM, Prof. Madya Dr Kok Swee Leong, Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Prof. Dr. Noreffendy Tamaldin serta beberapa orang pegawai kanan yang lain.
Prof Dato' Dr. Abu Abdullah berkata, terdapat beberapa agenda yang dibincangkan untuk terus hasilkan output bersama antaranya adalah berkenaan potensi terhadap kerjasama penyelidikan, program pascasiswazah, pembangunan makmal latihan dan makmal penyelidikan yang berkaitan dengan pembuatan di UTeM.
Ujarnya, antara lain turut dibincangkan berkenaan program pembangunan Internet of Thing (IoT), pertandingan projek tahun akhir mahasiswa, Latihan Industri dan kebolehpasaran siswazah serta program staff attachment.
Terdahulu UTeM dan STMicroelectronic Sdn. Bhd. telah menjalinkan hubungan baik sejak tahun 2017 selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang dihoskan oleh FKEKK yang mana pelbagai manfaat bersama telah dikecapi hasil daripada kerjasama strategik ini.
Antara output yang diperolehi bersama sebelum ini adalah seperti penubuhan makmal IoT di FKEKK, CEO’s Talk, pertandingan projek IoT serta program berunsurkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi manfaat besar kepada kedua-dua belah pihak.
Rentetan pengisian lawatan ini, kesemua delegasi dari UTeM turut berpeluang melihat sendiri proses penghasilan cip elektronik yang dihasilkan STMicroelectronic Sdn. Bhd. di kilang berkenaan yang terletak di lokasi yang sama.