Skip to main content








Mahasiswa dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menjayakan program Semai Bakti Pusara yang diadakan baru-baru ini di Masjid Peringgit, Melaka.

Program ini merupakan gandingan 2 buah fakulti iaitu Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), UTeM.

Seramai 30 orang pelajar dari kedua-dua fakulti telah terlibat dalam menjayakan program ini dengan kerjasama barisan ahli jawatankuasa masjid berkenaan.

Menurut wakil pelajar dari FTKMP UTeM, Umar Faruq Helmi berkata, program ini antaranya bertujuan menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama dengan masyarakat setempat.

Jelasnya, dengan adanya aktiviti sebegini maka para pelajar merasa lebih dekat dengan masyarakat sambil berbakti di Masjid Peringgit yang merupakan salah sebuah masjid warisan tradisional di negeri ini.

Ujarnya, antara pengisian program ini adalah aktiviti pembersihan dalam kawasan masjid dan kawasan sekitar sekaligus meningkatkan keceriaan masjid ini.

Sementara itu wakil pelajar dari FTKEE Muhammad Harish Ilman Rosli berkata, mereka turut mengambil peluang ini membuat kerja-kerja pembersihan kawasan pusara.

Katanya, aktiviti mengecat batu-batu nesan antara usaha mereka bagi memulihara keadaan kawasan berkenaan.

Secara keseluruhannya, mahasiswa UTeM bukan hanya tertumpu dalam usaha peningkatan kecemerlangan akademik semata-mata malah turut mempraktikkan kemahiran insaniah dan memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Program tersebut turut mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee dan beliau berbesar hati dengan kumpulan pelajar UTeM yang telah menjayakan program yang memberi manfaat ini.