Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di pelbagai peringkat terus komited dalam mempelbagaikan program bagi memastikan momentum kemantapan kebolehpasaran graduan universiti ini terus meningkat secara konsisten.
Terbaru, Exco Modul dan Aktiviti, Kelab Sekreteriat Rakan Muda UTeM dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) telah menganjurkan program Bengkel Persediaan Kerjaya bertempat di Auditorium Pusat Pengajian Siswazah, UTeM Kampus Induk, Durian Tunggal.
Program yang berlangsung selama sehari tersebut telah diadakan khusus bagi mendedahkan kepada pelajar terhadap alam realiti pekerjaan yang semakin kompetitif dan mencabar yang akan ditempuhi oleh para mahasiswa masa kini.
Menurut Pengarah Program, Nik Nur Fatimah Muhamad, pelajar Tahun 2 dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) berkata, antara objektif diadakan program tersebut adalah untuk memberi pendedahan awal kepada mahasiswa dan mahasiswi terutamanya dalam memperbaiki penampilan diri mereka bagi menembusi alam pekerjaan masa kini.
Ujar beliau lagi, ciri-ciri seorang graduan yang hebat dan mampu melangkah jauh dalam membina kerjaya dan turut mempunyai personaliti diri yang hebat bukan sahaja terletak pada faktor pencapaian cemerlang dalam akademik semata-mata, namun graduan mestilah melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran yang diperlukan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Sementara itu Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) Misdom Lan turut memberikan pandangan, katanya graduan yang bakal menempuhi alam pekerjaan kini mestilah mempunyai ketahanan mental dan fizikal bagi menghadapi dunia pekerjaan sebenar di luar sana.
"Antara elemen ketahanan fizikal dan mental yang wajib dipelajari graduan masa kini adalah mampu berdikari dan bersikap proaktif, berdisiplin dalam melaksanakan suatu tugasan, tidak mudah berputus asa, tidak mudah lemah semangat, mampu menerima teguran dan kritikan dengan sikap positif dan terbuka, sentiasa positif dan bersikap rasional serta bijak mengawal emosi", jelas beliau lagi.
Secara kesimpulannya bengkel telah berjaya menerapkan persediaan para peserta menghadapi dunia pekerjaan sebenar nanti di samping penerapan pelbagai nilai kerohanian serta pendedahan kemahiran amali berkaitan.