Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah merangkul takhta juara dalam pertandingan MOTO Innocup 2018 yang diadakan baru-baru ini sekaligus menyerlahkan keunggulan jenama universiti awam teknikal paling berprestij di negara ini.

MOTO Innocup merupakan pertandingan perisian mengikut tema yang berubah setiap tahun yang mana pada tahun ini tema yang dipertandingkan adalah kepintaran buatan  dan telah dianjurkan oleh INTI International College Penang dengan kerjasama Motorola Solutions.

Kejayaan ini ditempa oleh lima orang Mahasiswa dari Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) UTeM dengan membawa pulang wang tunai RM 5,000.00 atas kejayaan projek perisian mereka “Just Go” Smart Vehicle Payment System Using Deep Learning.

Dekan FKEKK UTeM Prof. Madya Dr. Mohd Shakir Md Saat melahirkan kesyukuran dan gembira di atas kemenangan yang telah dirangkul oleh pasukan FKEKK UTeM tersebut.

Jelas beliau, kejayaan ini menjadi pemangkin kepada mahasiswa yang lain untuk terus berusaha dengan cemerlang dalam memajukan diri untuk keluar dari zon selesa sedia ada dan turut sama menyerlah jauh di peringkat nasional dan persada antarabangsa.

Lima orang mahasiswa yang memenangi pertandingan tersebut merupakan pelajar tahun empat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dan mereka adalah Ibrahim Soliman Mohamed, Yew Poh Leng, Weng Shih Ying, Wong Yuin Shen dan Cheong Jia Mun dan yang di selia oleh pensyarah mereka Prof. Dr. Zulkarnain Mohd Yussof