Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) turut meraikan kebudayaan dan kesenian Cina yang mana antara agenda terkini apabila Kelab Kebudayaan dan Kesenian Cina menerusi Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) UTeM telah melangsungkan penganjuran Festival Kuih Bulan yang diadakan bertempat Mahkota Parade, Banda Hilir Melaka baru-baru ini.
Penganjuran kali ke-11 ini telah diserikan dengan pelbagai pengisian seperti pertandingan catur cina disusuli dengan program malam kebudayaan yang diadakan pada malam penutup Festival Kuih Bulan ini.
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib dalam ucapan perasmian festival tersebut merakamkan penghargaan kepada Kelab Kebudayaan dan Kesenian Cina UTeM dalam berusaha dan memberikan komitmen tinggi dalam menjayakan Festival Kuih Bulan tersebut.
Ujar beliau lagi, sekalung tahniah turut diberikan kerana berjaya mengekalkan tradisi penganjuran aktiviti tersebut, signifikan dalam memperkenalkan keunikan budaya warisan masyarakat cina kepada warga UTeM dan juga masyarakat luar.
“Saya juga berharap program seperti Festival Kuih Bulan ini dapat diteruskan kesinambungan penganjurannya dan dijadikan sebagai acara tahunan anjuran universiti dalam usaha bersama khususnya kepada pihak warga universiti dan masyarakat setempat”, ujar beliau lagi.
Festival Kuih Bulan kali ke-11 telah membuka peluang kepada mahasiswa dari pelbagai kaum untuk sama-sama terlibat dalam pelbagai aktiviti yang telah diaturkan sekali gus memupuk semangat perpaduan dan ukhuwah sesama warga kampus sama seperti penganjuran tahun-tahun terdahulu.
Majlis perasmian pembukaan Festival tersebut telah dihadiri dan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kota Melaka, YB Khoo Poay Tiong bersama Penolong Naib Canselor Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti Prof. Dr. Mohd Ridzuan Nordin yang menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) serta barisan pegawai kanan yang lain.