Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya membawa pulang lima pingat emas, dua pingat perak dan lapan pingat gangsa menerusi Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) 2018 yang berlangsung di Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini .

Kejohanan SUKUM 2018 ini telah mencatatkan sejarah tersendiri buat UTeM kerana pungutan lima belas pingat terutamanya lima pingat emas adalah melebihi sasaran awal iaitu sebanyak empat pingat emas, tiga pingat perak dan dua pingat gangsa.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib turut beraksi dalam kejohanan SUKUM ini menerusi acara berbasikal VIP dan perkara ini sekaligus menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan atlet UTeM bagi mempamerkan aksi-aksi menarik serta membolot pingat pada kali ini.

Beliau merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh kontinjen UTeM yang telah menaikkan nama universiti dalam arena sukan di peringkat kebangsaan dalam kalangan para staf universiti-universiti awam dari seluruh negara.

Katanya, UTeM telah meraih pingat emas menerusi acara bola sepak veteran setelah menumpaskan pasukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan acara olahraga (4 x 100 Meter) veteran dan merejam lembing yang disumbangkan oleh Sapian Abdul Wahid dari Pejabat Bendahari UTeM.

Manakala dua pingat emas lagi telah diraih menerusi acara boling padang kategori perseorangan lelaki yang disumbangkan oleh Zulkarnain Sharif dari Pejabat Pembangunan UTeM dan acara ping pong perseorangan lelaki yang diraih oleh Mohd Yusri Misron dari Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) UTeM.

Dua pingat perak yang diterima UTeM pula telah disumbangkan menerusi acara berbasikal senior dan acara boling padang kategori lelaki berkumpulan empat orang manakala lapan pingat gangsa pula telah diraih menerusi olahraga acara 100 meter veteran, petanque kategori trio lelaki dan trio wanita, sepak takraw regu veteran dan double trio, boling padang trio lelaki serta ping pong beregu lelaki senior dan beregu lelaki veteran.