Skip to main content

Atas keprihatinan dan nilai kemanusiaan sejagat maka Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah melaksanakan melaksanakan Misi Bantuan Kemanusiaan ke Lombok baru-baru ini ekoran tragedi gempa bumi pada 7.0 Richter di sana.

UTeM yang diwakili oleh UTeM Backpacker Adventure Team terdahulu telah melancarkan kutipan Tabung Sumbangan Pasca Gempa Lombok dalam tempoh 24 jam sejurus kejadian dan berjaya mengumpulkan sejumlah wang dari kalangan warga Malaysia dan Singapura.

Ketua Misi Kemanusiaan ke Lombok Khairul Nizam Minhat berkata, sejumlah wang tunai hasil daripada kutipan derma orang ramai ini telah mereka gunakan untuk membeli barangan keperluan berupa makanan asas.

Katanya, para peserta terdiri daripada pasukan UTeM Backpacker Adventure Team

seramai 3 orang dan dibantu pula dengan 2 orang dari FPG Oleochemicals Sdn. Bhd.,  seorang dari Spatialworks Sdn. Bhd. dan seorang dari DOSH Pahang yang sama-sama berganding bahu mengagihkan bantuan di sana.

“Kami telah berjaya mengagih keperluan asas berupa makanan dan air bersih sebanyak 700 bungkus kepada mangsa gempa bumi di Lombok Utara dan sekitar daerah Sembalun yang berjalan lancar sambil menzahirkan hubungan baik UTeM bersama agensi swasta dan pihak Search and Rescue (SAR) Lombok Timur”, ujar beliau lagi.

Mengulas lanjut beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Naib Canselor UTeM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib serta pengurusan tertinggi UTeM yang telah memberikan sokongan kepada pasukan ini dalam menjayakan misi ini.

Sementara itu pula Ketua pasukan SAR Lombok Timur, Kuswandi Harun berkata, pasukan dari UTeM merupakan pasukan pertama dari Malaysia yang memberi bantuan dan sokongan moral kepada mangsa gempa.

Tambah beliau bantuan yang disampaikan oleh pihak UTeM secara khususnya dan Malaysia amnya telah menzahirkan keakraban hubungan silaturrahim antara 2 buah negara di rantau ini.