Skip to main content

Center for Robotics and Industrial Automation (CeRIA) bersama Pusat Pengkomersilan (UCC) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kerjasama Intellectual Property Corporation of Malaysia (MyIPO) telah menganjurkan Program Perkongsian Ilmu berkenaan harta intelek pada minggu lalu.

Program yang berlangsung bertempat di Bilik Auditorium, Pusat Pengajian Siswazah Kampus Induk UTeM Durian Tunggal telah disampaikan oleh Nur Syuhada Mohd Syafawi yang merupakan MyIPO Patent Examiner dengan perkongsian bertajuk Jom Lindungi Harta Intelek Anda.

Menurut Ketua Pusat Kecemerlangan (CoE) UTeM, Prof. Dato' Dr Abu Abdullah sewaktu ditemui menyatakan bahawa program yang diadakan tersebut memberi peluang kepada para penyelidik untuk mengetahui secara terperinci tentang selok belok pengurusan harta intelek mereka.

Tambah beliau lagi, penganjuran program tersebut berjaya mencapai objektif penganjuran iaitu bagi meningkatkan pengetahuan berkaitan harta intelek kepada para penyelidik UTeM dan seterusnya meningkatkan lagi harta intelek dalam bentuk patent projek dan produk penyelidikan.

“Peningkatan harta intelek berbentuk projek patent ataupun produk penyelidikan amat penting bagi memastikan UTeM mencapai kecemerlangan terutamanya menerusi Instrumen Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) UTeM”, ujar beliau lagi. 

Program perkongsian ilmu tersebut berjaya menarik ramai penyertaan dari para penyelidik UTeM yang mana amat bermanfaat dalam memastikan projek penyelidikan mereka dapat di patenkan tanpa sebarang masalah.