![]() |
![]() |
| Penyerahan bubur lambuk kepada ketua Balai Polis Durian Tunggal oleh Pengarah PPPC, Fazidah Ithnin (tiga dari kiri) | Penyerahan bubur lambuk kepada wakil balai bomba dan penyelamat, Ayer Keroh |
Sempena menyambut Ramadan Al-Mubarak, Pejabat Pengurusan dan Perhubungan Canselori (PPPC), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) meneruskan tradisi eratkan hubungan silaturrahim bersama barisan anggota badan beruniform sekitar Ayer keroh dan Durian yang terus menjalankan tugas kepada masyarakat dalam memastikan keamanan dan keselesaan sejagat terpelihara.
Program penyerahan bubur lambuk kepada pihak polis dan pihak bomba telah menjadi tradisi di UTeM sempena Ramadan yang mulia sebagai salah satu daripada usaha UTeM menghargai dan mengucapkan terima kasih di atas sumbangan mereka selama ini.
Penyerahan bubur lambuk kali ini telah disempurnakan oleh Pengarah PPPC UTeM Fazidah Ithnin bersama dengan barisan pegawai PPPC dengan membuat edaran kepada para anggota Balai Polis Durian Tunggal, Balai Polis Ayer Keroh dan Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh.
"Tradisi ini juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat melibatkan pelbagai pihak terutamanya orang awam yang diuruskan oleh PPPC dalam usaha membantu menyediakan juadah berbuka puasa kepada anggota badan beruniform tersebut", ujar beliau.
Tambah beliau lagi, UTeM amat berterima kasih di atas sumbangan yang diberikan oleh mereka dalam membantu secara langsung menjaga keselamatan dan keamanan kawasan kampus Induk UTeM yang terletak di Durian Tunggal serta Kampus Teknologi UTeM di Taman Tasik Ayer keroh.
Bubur lambuk telah disediakan secara bergotong royong bermula seawal pagi melibatkan kakitangan yang terdiri daripada Pejabat Naib Canselor, PPPC, Pejabat Audit Dalam, Pejabat Pengurusan Program, Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan serta Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan.

