Persatuan Alumni Universiti Teknikal Malaysia Melaka (AUTeM) telah menganjurkan program berteraskan motivasi dan silaturrahim dengan melibatkan penyertaan seramai 1,000 pelajar asrama daripada empat buah sekolah menengah sekitar negeri Selangor secara serentak pada hari yang sama baru-baru ini.
Program membabitkan seramai 60 orang fasilitator yang terdiri daripada graduan-graduan UTeM ini telah mendapat kerjasama daripada Pejabat Jaringan Indusrti Masyarakat dan Industri (PJIM) UTeM serta pihak pentadbiran bagi 4 buah sekolah tersebut iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz Shah, Kajang High School, Kolej Vokasional Kajang serta Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tiga.
Presiden AUTeM merangkap Ahli Lembaga Pengarah UTeM, Azrul Aziz berkata, program tersebut merupakan program serampang dua mata kerana selain memberi input motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah malahan turut memberi impak dalam mengukuhkan hubungan silaturahim antara ahli AUTeM juga.
Katanya, program seumpama ini adalah kali pertama dianjurkan dan ianya mempunyai keunikannya tersendiri dengan kata amanat yang sering dikongsikan daripada AUTeM untuk masyarakat.
“Saya amat terharu melihat ahli AUTeM yang menjadi sukarelawan mencurah bakti dan mendekati masyarakat sebagai fasilitator tanpa bayaran di samping berkongsi pengalaman serta cabaran sebagai pelajar.
Program yang dilaksanakan selama sehari serentak di empat buah sekolah ini mengetengahkan modul-modul pembangunan insaniah melalui perlaksanaan latihan dalam kumpulan yang mana ianya lebih bercorak santai agar lebih dekat di hati pelajar-pelajar sekolah.
Sementara itu, Pengarah Program Ahmad Nawawi Mohd Amin berkata, beliau rasa seronok kerana selain dapat mengeratkan hubungan ukhwah antara bekas penuntut UTeM di samping para pelajar sekolah.
“Saya mendapat makluman positif daripada barisan guru di setiap sekolah bahawa program yang telah dijalankan ini sememangnya telah meninggalkan kesan positif yang berimpak dalam membentuk motivasi kalangan pelajar untuk berprestasi cemerlang dalam pelajaran” ujar beliau.
Mengulas lanjut beliau berkata secara keseluruhannya rakan-rakan AUTeM sangat bergembira bertemu dengan adik-adik dan sahabat AUTeM yang mana ianya merupakan cabang curahan bakti sambil santai.