Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus melangkah ke arah kecemerlangan akademik di persada antarabangsa apabila mewujudkan Program Pesisir Doktor Falsafah di Indonesia pula.
Program ini dilaksanakan menerusi jalinan pememeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) UTeM bersama Yayasan Perguruan Tinggi Islam Batik (YAPERTIB), Surakarta, Indonesia yang diadakan baru-baru ini di Bangunan Canselori Kampus Induk Durian Tunggal.
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib berkta, pemetraian MoA ini antaranya adalah bertujuan untuk melebarkan pengantarabangsaan UTeM di Indonesia melalui calon pelajar PhD dariUniversities Islam Batik (UNIBA) Indonesia bagi melanjutkan pengajian menerusi program PhD Pesisir Luar Negara yang akan di adakan di UNIBA dan Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (IPTK) UTeM.
Tambah beliau lagi, seramai 23 orang calon pelajar PhD tersebut yang telah mendaftar akan memulakan pengajian pada semester dua bagi sesi 2017/2018 dengan persetujuan yang mana YAPERTIB selaku penaung utama bagi pelajar UNIBA dengan membiayai yuran pengajian kesemua pelajar tersebut.
Program Pesisir Luar Negara tersebut turut akan melibatkan pengajian bertempat di kedua-dua buah universiti dengan objektif utama bagi menyumbang kepada sasaran pencapaian UTeM untuk meningkatkan bilangan pelajar PhD antarabangsa, bilangan jurnal di samping peningkatan pengantarabangsaan program pasca siswazah.
Majlis pemetraian MoA ini telah dihadiri oleh delegasi YAPERTIB iaitu Ketua Yayasan tersebut, Ir. Solichul Hadi A. Bakri bersama Timbalan Rektor Kerjasama UNIBA, Dr. Supawi Pawenang manakala pihak UTeM pula turut dihadiri oleh Pengarah Pejabat Antarabangsa Prof Madya Dr Mohd Nizam Abd Rahman, Dekan Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan Prof Madya Dr Safiah Sidek serta wakil-wakil pengurusan fakulti.