Skip to main content
29 July 2026

Pertama Dalam Negara, UTeM Tujah Bidang Perkomputeran Kuantum Bersama Amerika Syarikat

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mengorak langkah sebagai peneraju pendidikan teknologi tinggi negara apabila menjadi universiti pertama di Malaysia menawarkan program Sarjana Muda Sains Komputer (Teknologi Perkomputeran Kuantum).

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin, berkata program baharu itu menandakan satu lagi pencapaian bersejarah universiti apabila cadangannya berjaya melepasi Mesyuarat Saringan pada awal Julai lalu.

Beliau berkata, program berkenaan dibangunkan bagi melahirkan graduan yang menguasai pengetahuan teori serta kemahiran praktikal dalam teknologi perkomputeran kuantum, sekali gus memenuhi keperluan negara terhadap tenaga pakar dalam bidang teknologi strategik yang sedang berkembang pesat di peringkat global.

"Penawaran program ini meletakkan UTeM sebagai institusi pengajian tinggi pertama di Malaysia yang merintis pengajian peringkat sarjana muda dalam bidang teknologi perkomputeran kuantum gunaan.

"Ia juga mencerminkan komitmen universiti dalam memperkasa pendidikan berteraskan teknologi masa hadapan serta menyokong agenda negara untuk membangunkan bakat berkemahiran tinggi dalam bidang digital dan teknologi termaju," katanya.

Sebagai menyokong pelaksanaan program itu, UTeM turut menjadi universiti pertama di negara ini yang menyediakan makmal fizikal khusus bagi tujuan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan dalam bidang perkomputeran kuantum.

Makmal berkenaan dilengkapi 23 unit komputer kuantum berkapasiti dua dan tiga qubit, sekali gus memberi peluang kepada pelajar menjalankan eksperimen serta latihan amali menggunakan teknologi sebenar.

Dalam usaha memperkukuh kedudukan UTeM sebagai hab pendidikan teknologi kuantum serantau, universiti itu turut memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa dengan Amerika Syarikat menerusi 3 buah universiti ternama seperti University of Buffalo, University of Albany dan University of Texas Dallas.

Massila berkata, kerjasama strategik itu bertujuan memperkukuh pembangunan kurikulum, penyelidikan, pembangunan bakat, mobiliti akademik serta pertukaran kepakaran dalam bidang teknologi perkomputeran kuantum.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Amerika Syarikat baru-baru ini yang turut menyaksikan perbincangan terperinci bersama universiti-universiti tersebut bagi meneroka peluang kerjasama jangka panjang dalam bidang berkenaan.

Turut hadir dalam lawatan berkenaan ialah Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Global (Uglobe), Hazman Hasib.

Mengulas lanjut bagi program baharu ini, Massila berkata, ia selaras dengan pendekatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), program itu memberi penekanan terhadap pembelajaran berasaskan amali, penyelesaian masalah serta aplikasi industri bagi memastikan graduan yang dilahirkan memiliki kompetensi tinggi dan memenuhi keperluan sektor teknologi negara.

"Kohort pertama dijangka membabitkan seramai 60 pelajar yang akan memulakan pengajian dalam masa terdekat sebelum menamatkan pengajian pada 2030 sebagai graduan pertama Teknologi Perkomputeran Kuantum keluaran UTeM," katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu diyakini mampu memperkukuh kedudukan UTeM sebagai peneraju pendidikan teknikal dan teknologi termaju negara, selain menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem penyelidikan, inovasi dan industri perkomputeran kuantum di Malaysia.