Skip to main content
07 July 2026

UTeM Bawa Teknologi Rehabilitasi Lebih Dekat Dengan Komuniti

Serkam: Penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam kini tidak lagi perlu mendapatkan rawatan rehabilitasi di lokasi yang jauh apabila Pusat Rehabilitasi dan Gimnasium Komuniti MADANI pertama di kawasan itu mula beroperasi.

Pusat yang dibangunkan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi Geran UniMADANI 2024, Kementerian Kewangan Malaysia itu dirasmikan baru-baru ini oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sempena Program Pendayaan Komuniti Universiti Awam (Komuniti @UniMADANI) bertemakan Pemulihan Fisioterapi Dalam Komuniti Melalui Teknologi Rehabilitasi @ Serkam, Melaka.

Projek yang diketuai Profesor Madya Ir. Dr. Mariam Md. Ghazaly itu menyediakan kemudahan rehabilitasi dan fisioterapi kepada pesakit strok, individu yang mengalami kecederaan, masalah pergerakan serta kelemahan anggota badan menggunakan teknologi yang dibangunkan penyelidik UTeM.

Katanya, antara inovasi diperkenalkan ialah ROBOGLOVE bagi membantu latihan pemulihan tangan, Assistive Lower Limb Chair (ALLC) untuk latihan anggota bawah secara automatik serta WALLEs, sistem eksoskeleton yang meningkatkan keberkesanan latihan pergerakan.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, penubuhan pusat itu membuktikan hasil penyelidikan universiti bukan sekadar berada di makmal, sebaliknya diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

"UTeM komited memastikan setiap penyelidikan yang dihasilkan mempunyai impak kepada komuniti yang mana penubuhan pusat ini adalah contoh bagaimana inovasi dan teknologi rehabilitasi dapat membantu meningkatkan kualiti hidup pesakit serta memudahkan mereka mendapatkan latihan pemulihan secara berterusan berhampiran tempat tinggal.

"Kami berharap model kerjasama antara universiti, kerajaan dan komuniti seperti ini dapat diperluaskan ke lebih banyak lokasi supaya lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada kepakaran dan teknologi yang dibangunkan UTeM," katanya. Pada majlis itu, penduduk termasuk warga emas turut diberi peluang mencuba sendiri peralatan rehabilitasi dengan bimbingan pasukan teknikal UTeM. Penubuhan pusat berkenaan adalah hasil kerjasama UTeM bersama JAPERUN SERKAM melalui komuniti Pulai Barat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PERKESO, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pulai serta JAPERUN Serkam.

Pusat Rehabilitasi dan Gimnasium Komuniti MADANI itu dijangka menjadi pemangkin kepada usaha memperluaskan akses perkhidmatan rehabilitasi berasaskan teknologi kepada masyarakat, sekali gus membuktikan peranan universiti dalam membawa hasil penyelidikan terus kepada rakyat