Skip to main content
29 August 2025

UTeM Mengekalkan Kecemerlangan Terima Anugerah TVET Terbaik Universiti Awam 2025

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menzahirkan prestij dengan mengekalkan kecemerlangan apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah Universiti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Terbaik Malaysia bagi kategori universiti awam 2025.

Anugerah anjuran Education + TVET Asia Publications itu mengiktiraf kecemerlangan dan sumbangan cemerlang dalam bidang pendidikan dan TVET di seluruh Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud kepada Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr Massila Kamalrudin di majlis Malaysia Education & TVET Awards (META) 2025 di Kuala Lumpur, hari ini.

Massila berkata, anugerah itu merupakan simbolik keunggulan UTeM sebagai Universiti Awam TVET Terbaik di negara ini kerana ini merupakan tahun kedua kami menjulang kemenangan yang sama yang telah kami menangi pada tahun lalu.

Jelasnya, kecemerlangan berimpak tinggi ini menjadi satu pengiktirafan yang amat bermakna buat UTeM dengan mesej jelas terhadap segenap usaha dan komitmen UTeM dalam pemerkasaan TVET melalui impak berterusan.

Katanya, jelas membuktikan bahawa UTeM dan TVET ibarat isi dan kulit kerana pembangunan Teras Strategik utama UTeM menerusi Pelan Strategik UTeM 2023-2025 adalah berfokus kepada Memperkasa TVET Meluncur Kerjaya seiringan hasrat negara melalui Majlis TVET Negara terus membuahkan hasil yang nyata.

"Seluruh elemen meliputi aspek pendidikan, penyelidikan inovasi, pembangunan pelajar, hubungan industri, institusi pendidikan, kerjasama dengan agensi strategik dan pemerkasaan komuniti digerakkan sepenuhnya bagi mencapai kejayaan TVET secara meluas.

"Hasilnya memberangsangkan apabila setiap elemen itu membuahkan impak yang diharapkan antaranya penawaran bidang pengajian kami menepati keperluan dan

permintaan semasa industri, bilangan kemasukan pelajar melebihi dari yang disasarkan.

"Bukan hanya itu malahan UTeM turut terpilih sebagai penerima Anugerah Universiti Pilihan Majikan (Employers' Choice of University Award) dan turut mengukir kecemerlangan berterusan apabila berjaya mencatatkan lonjakan peratusan tertinggi bagi kesemua 5 indikator utama yang menjadi ukuran keunggulan kebolehpasaran graduan sesebuah universiti bagi tahun 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, pemerkasaan TVET dalam kalangan universiti-industri dan pengantarabangsaan adalah elemen berangkai yang telah direalisasikan secara konsisten.

"Kolaborasi antara UTeM bersama pemain utama industri dan institusi pendidikan tinggi TVET di serata dunia dijayakan menerusi siri-siri jalinan kerjasama strategik seperti di negara Jerman, Perancis, New Zealand, United Kingdom, Jepun, Korea Selatan, China, Afrika Selatan, UAE dan lain-lain negara termasuk perkongsian kepakaran demi kelestarian TVET masa kini dan masa hadapan dunia.

"Di samping itu, UTeM turut meluaskan lagi kepelbagaian TVET kepada program TVET Aeroangkasa yang mula digerakkan pada tahun ini selari dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab aeroangkasa utama di rantau Asia Tenggara yang memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi serta ekosistem industri yang kukuh dan berdaya saing,” ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, seluruh pencapaian yang telah dicapai UTeM ini meletakkan universiti ini sebagai rujukan utama dalam negara malahan turut menjadi ukuran di peringkat global.

Kejayaan UTeM selaku Universiti Awam TVET Terbaik di Malaysia bagi tahun 2025 menjulang hadiah berupa sebuah trofi dan sijil pengiktirafan kecemerlangan buat semua.

Turut hadir meraikan kejayaan UTeM ini adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antrabangsa, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr Zahriladha Zakaria, Penolong Naib Canselor Strategik dan Kelestarian Global, Profesor Madya Mohd Rahimi Yusoff dan Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Global, Hazman Hasib.