Skip to main content
23 June 2025

Mahasiswa UTeM Popularkan Sajian Nasi Dagang di Peringkat Antarabangsa

Mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mempopularkan sajian tradisi dari negeri Terengganu iaitu Nasi Dagang di peringkat antarabangsa menerusi Festival Nasi Dagang yang diadakan baru-baru ini.

Timbalan Bendahari Persatuan Anak Negeri Terengganu, UTeM merangkap Pengarah Program, Wan Muhammad Haziq Darwisy Wan Remle berkata, menariknya kerana festival ini telah mendapat penyertaan daripada ramai pelajar-pelajar universiti antarabangsa dari pelbagai negara seperti Indonesia, Jepun, Brunei, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Thailand.

“Festival kami mendapat sambutan yang luar biasa dari kalangan pelajar universiti antarabangsa yang benar-benar telah tertarik dan meminati kelazatan dan keunikan sajian warisan gastronomi Terengganu, Nasi Dagang ini.

“Menariknya kelainan festival ini terletak pada kombinasi warisan, inovasi, dan inklusiviti yang bukan sahaja menampilkan nasi dagang dalam pelbagai bentuk dan rasa, tetapi turut menyelitkan elemen STEM, kesihatan, kesukarelawanan dan kepimpinan sejajar dengan aspirasi 8 Dimensi MyHEPA UTeM dan matlamat pembangunan lestari (SDG 4),” jelas beliau yang merupakan pelajar tahun 3, Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, Fakulti Teknologi Maklumat dan Komputer UTeM.

Festival ini dianjurkan secara kolaboratif oleh Kelab Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA UTeM), Kelab Pemimpin Muda UITM Alor Gajah, Tuah Volunteer Team (TVT UTeM), Fasilitator Sahabat Siswa (FaSaSi UTeM), Kelab Larian dan Orientering UTeM (UROC), Kelab Sepak Takraw UTeM serta Kelab Rakan Kesihatan UTeM.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNCHEPA) UTeM, Profesor Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif dan turut diserikan dengan kehadiran Naib Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Dalam ucapannya, Dr. Sabri menekankan kepentingan program seumpama ini dalam menyemai nilai patriotisme dan perpaduan melalui pendekatan seni kulinari serta sukan tradisional.

“Festival ini bukan sekadar memperkenalkan makanan ikonik negeri Terengganu, tetapi menjadi medan untuk memelihara identiti nasional serta menjalin silaturahim rentas budaya,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin menyatakan rasa bangga terhadap inisiatif pelajar dalam mengarusperdanakan budaya warisan melalui pendekatan inovatif.

“Mahasiswa bukan sahaja pemangkin teknologi, tetapi juga benteng kepada nilai jati diri dan warisan bangsa,” tegas beliau.

Program yang berlangsung di perkarangan Dewan Canselor UTeM itu menyaksikan pelbagai pengisian padat yang berteraskan pemeliharaan budaya dan pembentukan jati diri nasional dalam kalangan generasi muda.

Antaranya termasuklah Nasi Dagang Fun Run, Kem Kepimpinan Identiti Nasional, program pendidikan STEM untuk kanak-kanak, Kejohanan Sepak Takraw Anak Negeri serta deretan gerai jualan yang dikendalikan oleh pelajar sendiri.

Program ini turut mendapat tajaan dan sokongan padu daripada Yayasan Terengganu, ZR Logistic Resources, Terengganu Inc. serta Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Ini membuktikan sinergi antara institusi pendidikan, industri, kerajaan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan dalam memperkasa mahasiswa dan mengangkat martabat warisan tempatan.