UTeM diiktiraf Cemerlang Terima Anugerah Inovasi Pendidikan
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus membuktikan keunggulannya sebagai institusi pendidikan tinggi teknikal termaju dan berinovasi tinggi apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Pendidikan peringkat nasional di Empowering Education Summit 2025 yang berlangsung di salah sebuah hotel ternama di Pulau Pinang, hari ini.
Anugerah berprofil tinggi ini telah disempurnakan penyampaiannya oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan disaksikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek.
Menerima anugerah berprestij ini UTeM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim mewakili Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin.
Massila berkata, anugerah ini menzahirkan penghargaan tinggi terhadap daya usaha luar biasa UTeM dalam menerajui inovasi pendidikan yang berpaksikan teknologi, nilai kemanusiaan dan orientasi masa hadapan.
“Pengiktirafan ini adalah selari dengan fokus utama dalam Transformasi Pendidikan Tinggi 2025, khususnya dalam aspek “Penyediaan Bakat Terbaik Negara”.
“Hal ini juga terbentuk menerusi acuan Pelan Strategik UTeM 2023-2025 yang berpaksikan kepada 5 teras utama yang menyentuh langsung aspek pembudayaan inovasi dalam pendidikan UTeM.
“UTeM tentunya komited memperkasa potensi pelajar melalui pendekatan pembelajaran berinovasi tinggi, memperkukuh ekosistem penyelidikan berimpak serta memperluas akses kepada teknologi dan kemahiran masa depan,” ujarnya.
Katanya, segala inisiatif ini tidak lain tidak bukan tentunya berhala tuju untuk terus melahirkan graduan TVET yang holistik, berkebolehan tinggi dan mampu bersaing secara global.
"Anugerah ini bukan sekadar simbol kejayaan, tetapi merupakan amanah besar untuk terus mendepani perubahan dan menjadi pencetus gelombang baharu dalam
pendidikan tinggi negara dan penyumbang aspirasi Malaysia Madani,” katanya dalam Kenyataan Media UTeM.
Sidang kemuncak Empowering Education Summit 2025 yang berlangsung sehari ini menghimpunkan tokoh-tokoh pendidikan, kepimpinan institusi serta rakan kolaboratif dari seantero negara yang berkongsi misi membentuk lanskap pendidikan Malaysia yang lebih inklusif dan progresif.
Turut hadir bagi meraikan kejayaan UTeM adalah Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kelestarian Global), Profesor Madya Mohd Rahimi Yusoff, Ketua Pegawai Operasi, Masdzarif Mahat, Ketua Pusatakawan, Siti Saluwa Jamal dan Dekan Sekolah Pengajian Siswazah, Prof Dr Mohd Rizal Salleh.