UTeM Perkenal 5 Produk Inovasi Penyelidikan Berimpak Tinggi
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah memperkenalkan 5 produk inovasi hasil penyelidikan bertaraf dunia yang berimpak tinggi hasil daripada penyelidikan kumpulan penyelidik berkaliber universiti ini.
Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM menerusi kumpulan penyelidiknya terus pro aktif menyemarakkan bidang penyelidikan inovasi lalu menghasilkan produk penyelidikan berimpak tinggi bertaraf dunia.
Jelasnya, antara 5 produk penyelidikan inovasi tersebut adalah Kincir Air UTeM untuk tenaga boleh diperbaharui, UTeM Off-Road Vehicles (E-ORV) untuk tujuan pertanian, Dron Smart AI Surveillance Security System, Energy Management Response System dan Sistem Amaran Kebakaran Api Pintar (SIAKAP).
Katanya, kesemua produk inovasi penyelidikan ini adalah merupakan penzahiran daripada penyelidikan berterusan kumpulan penyelidik UTeM untuk memberikan manfaat dalam konteks pelbagai dan mampu menyumbang dalam sektor-sektor utama dalam negara.
“Kincir Air UTeM menghasilkan tenaga elektrik dari tasik UTeM dan ia dibangunkan menggunakan teknologi pembuatan termaju yang memfokuskan kepada penukaran kuantiti air yang kecil kepada tenaga elektrik.
“Kincir ini direka khas untuk mencapai kestabilan tinggi dengan geseran minimum, penjana direka khas untuk dikendalikan pada kelajuan yang sangat rendah, manakala, reka bentuk khas litar elektronik kuasa digunakan untuk menghasilkan 24 V DC dan 240 AC sebagai output yang mana pengumpulan kuasa sehari mampu menghidupkan penyaman udara biasa selama 12 jam.
“E-ORV merupakan kenderaan traktor berkuasa elektrik yang boleh digunakan dalam sektor pertanian dan perladangan secara meluas dan ia boleh menjalankan fungsi sebagai jentera pelbagai guna seperti membajak, mengangkut hasil pertanian, membaja, meracun dan menuai hasil perladangan seperti tanaman kelapa sawit.
“Ia juga dilengkapi dengan sistem teknologi Internet of Things (IoT) yang mampu meningkatkan keupayaan traktor ini kepada tanpa pemandu pada fasa penyelidikan dan pembangunan E-ORV ini adalah dengan kerjasama bersama syarikat SCS Sdn Bhd melalui
MOU yang telah ditandatangani baru-baru ini.
“Sementara itu, Dron smart AI Surveillance Security System pula dibangunkan dengan kelengkapan sistem kepintaran buatan bagi kegunaan pertanian dan tujuan pengawasan dan pemantauan dalam aspek keselamatan dalam kawasan yang berskala luas.
“Secara praktikalnya teknologi ini digunakan oleh UTeM dalam mengawasi kawasan sempadan pagar kampus UTeM yang berada dalam kawasan hutan dan dusun yang sukar dilalui oleh anggota keselamatan,” ujarnya.
Massila berkata, 2 lagi produk inovasi penyelidikan UTeM adalah Energy Management Response System yang merupakan sistem paparan pintar untuk memantau dan mengenal pasti penggunaan eletrik Kampus UTeM.
“Ia juga dilengkapi dengan sistem kecerdasan buatan (AI) untuk menganalisa seterusnya memberi maklum balas kepada UTeM untuk mencapai penggunaan elektrik secara efisien dalam Kampus UTeM.
“Sementara itu, Sistem Amaran Kebakaran Api Pintar (SIAKAP) pula adalah sistem amaran bagi kebakaran yang dilengkapi dengan sistem penderia berteknologi tinggi dilengkapi dengan teknologi Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) dalam pemantauan pencegahan kebarakan dalam kawasan berisiko tinggi dan ia telah menarik minat beberapa premis yang berisiko tinggi untuk dilengkapi dengan teknologi ini,” ujarnya lagi.
Kelima-lima produk penyelidikan ini telah diperkenalkan sewaktu Majlis Perasmian Kincir Air UTeM dan UTeM Off-Road Vehicles (E-ORV) yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Tuan Yang Terutama Yang diPertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam merangkap Canselor UTeM, pagi tadi.
Antara pengisian pada majlis ini adalah sesi perasmian dan demonstrasi Smart AI Surveillance and Security System, UTeM E-ORV dan dan Kincir Air UTeM untuk tenaga boleh diperbaharui.
Sementara itu pada majlis ini Tun Canselor turut diberikan penerangan khas menerusi pembentangan status projek penyelidikan semasa UTeM oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Ir. Ts. Dr. Ghazali Omar.
Pada majlis yang sama turut diadakan majlis penyerahan 2 buah motosikal elektrik kepada Koperasi UTeM dan kumpulan penyelidik UTeM.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Zulkifilie Ibarahim, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif dan Penolong Naib Canselor Strategik dan Kelestarian Global, Prof Madya Mohd Rahimi Yusoff serta ketua dan wakil Agensi Kerajaan Negeri Melaka dan Persekutuan.