Makmal AMD UTeM Dapat Pengiktirafan Antarabangsa di Bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) Berdasarkan MS ISO/IEC 17025
Makmal Aplikasi Rekabentuk Mekanikal (AMD), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya mendapat pengiktirafan antarabangsa di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) berdasarkan MS ISO/IEC 17025 daripada Jabatan Standard Malaysia.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata, ini merupakan pencapaian besar kepada UTeM bagi penyediaan fasiliti makmal berteknologi tinggi berdasarkan standard antarabangsa.
Jelasnya, pengiktirafan ini turut mencerminkan komitmen UTeM terhadap kecemerlangan akademik, penyelidikan dan inovasi serta membuktikan dedikasi berterusan untuk manfaat pelajar, penyelidik dan industri di peringkat global.
“Antara penyumbang kepada pengiktirafan ini adalah dengan kelengkapan sistem pengurusan makmal yang efisien dan efektif di bawah kawalan kakitangan berpengalaman luas dan berkepakaran tinggi.
“Pada masa yang sama, Makmal AMD ini dilengkapi dengan peralatan terkini dan berkualiti tinggi yang sentiasa berada di bawah penyelenggaraan berjadual bagi memastikan data yang dibekalkan tepat dan menyumbang kepada keputusan jitu bagi setiap pengujian yang dijalankan,” ujarnya.
Tambah beliau, menariknya Makmal AMD ini turut memberikan manfaat langsung kepada sektor industri dalam konteks memastikan kualiti komponen atau struktur yang dihasilkan adalah selamat serta memenuhi piawaian yang telah ditetapkan sebelum melalui proses pembuatan selanjutnya.
“Antara sektor industri yang yang dapat menggunakan perkhidmatan ini adalah seperti minyak dan gas, industri perkapalan dan penghasilan jentera berat,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut beliau berkata, perkara ini tentunya menjana impak berangkai buat UTeM bilamana ia bukan hanya memperkasa aktiviti penyelidikan malahan menyuntik daya saing peringkat antarabangsa.
“Lantaran itu diharapkan dengan adanya makmal bertaraf akreditasi berdasarkan MS ISO/IEC 17025 ini di UTeM terus memperkukuhkan jalinan kerjasama strategik antara UTeM dan seluruh rangkaian industri dunia selari dengan peranan UTeM sebagai sebuah universiti MTUN yang sentiasa komited dalam pemerkasaan program TVET Termaju di negara kita.
“Agenda ini juga adalah seiringan dengan salah satu fokus Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2024 iaitu Pengukuhan Ekosistem Penyelidikan dan Inovasi dan pada masa yang sama memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) nombor 9 iaitu Industri, Inovasi dan Prasarana.
Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Penyampaian Sijil Akreditasi MS ISO/IEC 17025 kepada Makmal AMD di Kampus Teknologi UTeM, Ayer Keroh, petang ini yang telah dirasmikan oleh Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, YB Datuk Rosli Abdullah.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir Dr Ghazali Omar, Pengarah Akreditasi, Jabatan Standard Malaysia, Wan Rukiman Wan Mamat dan Dekan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal, Profesor Dr. Mohd Fadzli Abdollah.