Proaktif dan Cakna Kebajikan Pelajar: UTeM Tawar Biasiswa Anak Emas Biayai Pengajian Dharshini Subramaniam
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus pro aktif dan prihatin perihal pelajar cemerlang dari kalangan kurang berkemampuan untuk menyambung pengajian dengan menawarkan Biasiswa Anak Emas UTeM kepada Dharshini Subramaniam.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM sentiasa prihatin dan memberi keutamaan penawaran pengajian bersama dengan penjagaan kebajikan kepada pelajar baharu dari kalangan B40 yang menyambung pengajian di sini.
Jelasnya, UTeM terdahulu menyelami keperitan Dharshini yang merupakan seorang anak yatim dan tinggal bersama ibunya yang merupakan OKU masalah penglihatan serta menghadapi permasalahan kewangan.
Katanya, bagi mencapai cita-cita seorang pelajar cemerlang ini di UTeM maka kami tawarkan 6 pakej bantuan kepada beliau agar mudah beliau menyambung pengajian di sini menerusi program Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepintaran Buatan) dengan kepujian bagi kemasukan Oktober nanti.
Massila berkata, pakej utama bantuan untuk beliau adalah bantuan Biasiswa Anak Emas UTeM menerusi Yayasan Tun Canselor yang akan membiayai kos pengajian merangkumi yuran dari awal sehingga tamat pengajian termasuk wang sara hidup bulanan RM500.00 sehingga selesai pengajian.
"Seterusnya lima bantuan lagi adalah bantuan wang tunai berjumlah RM 1,500.00, bantuan sebuah komputer riba bagi tujuan pembelajaran dan bantuan Food Bank kepada beliau.
“Dharshini juga akan diberikan penginapan di asrama sehingga tamat pengajian dan turut diberi bimbingan kaunseling dan kerjaya bagi membantu beliau dalam pengajiannya.
“Pada masa yang sama pihak UTeM turut menyampaikan sumbangan mewakili bagi pihak Yayasan Perkasa Siswa, Kementerian Pendidikan Tinggi kepada beliau,” ujarnya.
Tambah Massila, enam pakej bantuan ini menzahirkan betapa UTeM sentiasa cakna kepada pelajar terpilih yang kurang berkemampuan namun dalam kategori cemerlang akademik dan komited ingin mengubah nasib keluarga dengan menyambung pengajian di sini," ujar Massila.
Pakej bantuan dari UTeM ini disampaikan terus oleh pihak UTeM ke kediaman Darshini di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada petang tadi.
Mewakili Naib Canselor UTeM, UTeM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif.
Kehadiran wakil UTeM menandakan satu sinar baharu bakal merubah kehidupan Darshini dan ibunya yang tercinta.
Dharshini (21 tahun) sama sekali tidak menyangka kehadiran pihak UTeM ke rumahnya dan menyampaikan bantuan berpakej premium ini.
Beliau menyampaikan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Naib Canselor UTeM, Dr Massila dan Pejabat HEPA atas keprihatinan UTeM dan beliau bertekad untuk belajar dengan penuh keazaman bagi menggapai cita-citanya menerusi UTeM.
Sementara itu, ibunya Saraspathy Dorasamy (60 tahun) turut menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada UTeM atas pakej bantuan pengajian yang ditawarkan ini.
"Ini merupakan satu anugerah terindah buat kami anak beranak dan saya mendoakan agar Darshini akan terus berjaya di UTeM," katanya.
UTeM selaku Universiti TVET Terbaik di Malaysia bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik dan penyelidikan malah turut menyerlah dalam aspek kebajikan buat seluruh pelajarnya.
UTeM turut sentiasa pro aktif dan membuka ruang kemasukan pelajar kepada semua lapisan masyarakat sejajar dengan 5 fokus dan 20 landasan yang telah digariskan oleh Menteri Pendidikan Tinggi.