Skip to main content
01 April 2024

Peningkatan Penjanaan Berterusan: UTeM Terima Dividen RM 8 Juta Tertinggi Daripada UTeM Holdings Sdn Bhd

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima penyerahan dividen sebanyak RM 8 juta nilai dividen daripada UTeM Holdings Sdn Bhd (UHSB) pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Tun Canselor di kampus induk UTeM, semalam.

Penyerahan replika cek itu disampaikan sendiri oleh Prof Ts Dr Ghazali Omar yang menjalankan sementara tugas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UHSB dan disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri dan juga Canselor UTeM, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam majlis berkenaan.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, amaun dividen sebanyak RM 8 juta merupakan angka tertinggi semenjak penubuhan syarikat.

Jelasnya, angka tersebut jelas menggambarkan peningkatan memberangsangkan jika dibandingkan dividen yang diterima UTeM pada tahun sebelumnya sebanyak RM 5 juta dan sebelum itu pula sebanyak RM 2.9 juta.

Pada majlis yang sama, seramai 50 orang Mahasiswa UTeM telah menerima sumbangan sebanyak RM16,000.00 menerusi Tabung Amal Jariah UTeM yang mana sumber dana Tabung Amal Jariah UTeM adalah hasil sumbangan daripada warga UTeM serta pihak luar.

Katanya, pada tahun ini juga, jumlah sumbangan yang telah diterima bagi penganjuran program sepanjang bulan Ramadhan ini adalah berjumlah RM344,000.00 di mana penyumbang utama adalah dari Yayasan Canselor UTeM dan UTeM Holdings Sdn. Bhd.

“Bukan itu sahaja, untuk makluman bersama, UTeM Holdings Sdn. Bhd. juga telah bersetuju menyalurkan RM150,000.00 bagi penganjuran program Mahabbah Aidilfitri di samping pemberian dividen berjumlah RM8 juta kepada pihak UTeM.

“UTeM turut mengambil berat kebajikan pelajar terutama dari segi biasiswa yang mana sehingga kini seramai 732 orang pelajar UTeM telah menerima biasiswa dari 29 agensi,” katanya.

Meneruskan ucapannya, Massila berkata ini termasuk biasiswa dalaman seperti Program Anak Emas yang mana 6 orang pelajar telah menerima bantuan dengan jumlah RM99,000.00 dan Program SULUNG dengan 133 orang penerima berjumlah RM1.2 juta.

“Di samping itu, UTeM telah menjalankan inisiatif Biasiswa Kesidang dengan peruntukan sebanyak RM 10 juta untuk membantu pelajar tempatan dan antarabangsa,” ujarnya lagi.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UTeM, Dato’ Dr Husaini Omar.