Skip to main content
11 September 2023

Tujahan Sektor Automotif Negara UTeM Jalin Kerjasama Strategik Bersama Dengan CARSOME Academy

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menjalin kerjasama strategik bersama dengan Carsome Academy Sdn Bhd (CASB) menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU).

Pemeteraian MoU ini telah berlangsung di Carsome Cerified Lab, Bukit Raja, Klang, Selangor, baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Dr. Ts. Massila berkata, MoU ini menzahirkan UTeM dan CASB akan bekerjasama menerusi pemindahan kepakaran dan teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), perkongsian ilmu serta pemantapan amalan terbaik.

Jelasnya, menerusi kerjasama ini juga UTeM dan CASB menyediakan peluang latihan kepada staf bagi mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran di bawah skim sangkut industri.

“Kerjasama ini turut menjadi medan buat pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi UTeM menjalani latihan industri atau Work Based Learning (WBL) di CASB berpandukan modul latihan menggunakan kemudahan fasiliti yang terdapat di CASB.

“Hubungan strategik ini turut menjadi mekanisme strategik bagi UTeM seiringan aspirasi kerajaan dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET UTeM memenuhi keperluan industri,” ujarnya sewaktu memberikan kenyataan kepada pihak media.

Mengulas lanjut beliau menyatakan UTeM terus pro aktif berdaya tinggi dalam aspek revolusi pendidikan teknikal dan membimbing generasi profesional UTeM mewarnai sektor automotif di Malaysia.

“Pada masa yang sama menjayakan program latihan bertaraf dunia yang memberi kuasa kepada pelajar-pelajar UTeM untuk berjaya dalam pasaran pekerjaan yang terus dinamik,” ujarnya lagi.

Pada majlis pemeteraian MoU tersebut CASB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Jiun Ee Teoh dan turut menandatangani memorandum berkenaan.