Skip to main content
13 July 2023

Peruntukan RM 15 Juta: UTeM Perkenal Biasiswa Kesidang Untuk Pascasiswazah dan Biasiswa Sulung 2.0 Untuk Pra Siswazah

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengambil langkah pro aktif dengan menawarkan Biasiswa Kesidang dan Biasiswa Sulung 2.0 kepada para pelajar yang menyambung pengajian di sini.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, ini merupakan berita baik yang dinantikan oleh para pelajar yang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) di sini.

Jelasnya, buat pertama kali UTeM menawarkan Biasiswa Kesidang dan ianya terbuka kepada pelajar tempatan dan antarabangsa yang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dan PhD sepenuh masa di UTeM.

Ujarnya,biasiswa ini memberikan kemudahan pembiayaan pengajian kepada pelajar pascasiswazah yang mengikuti program Mod Penyelidikan (PhD dan Sarjana secara Penyelidikan) dan Program Mod Kerja Kursus (Sarjana secara Kerja Kursus).

Katanya, antara kriterianya pemohon mestilah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan seperti telah menerima tawaran pengajian atau berdaftar sebagai pelajar pascasiswazah sepenuh masa dan mencapai CGPA 3.50 ke atas di peringkat Ijazah Sarjana Muda,

“Antara syarat lain keutamaan diberikan kepada pemohon dalam kategori pendapatan isi rumah di bawah RM5,000.00 dan tidak menerima sebarang pembiayaan lain berkaitan pengajian.

“Pada masa yang sama sudah tentulah calon wajib lulus temuduga yang ditetapkan manakala bagi calon antarabangsa pula keutamaan diberikan kepada calon dari negara yang sedang bergolak,” katanya kepada pihak media di pejabat beliau di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, baru-baru ini.

Menyentuh mengenai Biasiswa Sulung 2.0 pula, Massila berkata, UTeM turut sama menawarkan kemudahan pembiayaan ini kepada pemohon dari kalangan pelajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi.

Ujarnya, ianya terbuka kepada semua bidang pengajian Ijazah Sarjana Muda yang diikuti oleh pemohon dan keutamaan adalah diberikan kepada pelajar daripada golongan B40.

Mengulas lanjut beliau berkata, terdapat beberapa lagi kriteria dan syarat yang perlu dipenuhi oleh calon pelajar sebelum dipilih oleh pihak UPU dari kalangan pelajar baharu dan pemilihan dalaman Universiti dari kalangan pelajar kanan, Biasiswa Sulung akan bermula pada sesi pengambilan pelajar baharu tahun 2023/2024 bulan Oktober nanti.

Secara umumnya UTeM terus menzahirkan inisiatif tinggi membantu menyediakan kemudahan pembiayaan kepada para pelajar di sini agar dapat menikmati pengajian komprehensif dengan selesa di sini