Skip to main content
04 April 2023

UTeM Gotong-Royong Sediakan ‘Nasi Talam’ Sebagai Juadah Pelajar Berbuka Puasa Secara Percuma Sepanjang Ramadan

Sempena Ramadan yang mulia ini Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengambil pendekatan melaksanakan aktiviti gotong-royong memasak bagi penyediaan juadah berbuka puasa ‘Nasi Talam’ secara percuma buat pelajar.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pihak UTeM berbesar hati dapat menyediakan juadah makanan secara percuma buat pelajar untuk mereka berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan ini.

Jelasnya, ianya melibatkan gerak kerja lebih 1,500 orang kakitangan UTeM mengikut giliran Pusat Tanggungjawab masing-masing dan turut dibantu sebahagian sukarelawan pelajar.

Ujarnya, penyediaan juadah berbuka puasa ini adalah dibiayai dengan dana yang diperolehi hasil daripada sumbangan dan kutipan dari dalam kalangan kakitangan UTeM serta pelbagai lapisan masyarakat.

“Turut melibatkan melalui peruntukan mengurus Pusat Islam UTeM, Tabung Kewangan Masjid Sayyidina Abu Bakar dan Tabung Amal Jariah UTeM yang berjumlah lebih daripada RM 130,000.00 kesemuanya,” ujarnya lagi.

Dr Massila berkata, sehingga kini program ini berjalan dengan jayannya dan seiringan dengan objektif untuk mengimarahkan bulan Ramadan yang istimewa buat semua warga pelajar dan kakitangan UTeM.

“Pada masa yang sama dapat meneguhkan sikap bekerjasama dan kerja berpasukan yang lebih mantap antara satu sama lain dalam menjayakan

program ini secara konsisten,” katanya sewaktu bersama dalam gotong-royong menjayakan program ini semasa giliran PTjnya Pejabat Canselori, baru-baru ini.

Mengulas proses penyediaan dan hidangan juadah, Massila berkata, program itu dimulakan dengan aktiviti memproses dan menyediakan bahan mentah diikuti aktiviti memasak secara bergotong-royong.

“Uniknya amalan atau konsep kami di UTeM ini adalah apabila makanan yang siap dimasak kemudian dihidangkan di dalam talam dan disusun untuk dinikmati bersama-sama sewaktu berbuka sebelum solat Isyak dan Tarawih secara berjemaah.

“Penganjuran majlis ini tentunya mampu memanfaatkan ruang dan peluang agar bersama menikmati keberkatan dan kasih Ramadan buat semua.

“Inilah medan yang menzahirkan hikmah memberi dan menerima antara kakitangan dan pelajar seterusnya menjalin ukhwah berpanjangan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau berharap inisiatif ini terus memberikan manfaat buat pelajar UTeM terutamanya kepada golongan yang kurang berkemampuan.