Skip to main content
17 October 2022

Anugerah Akademik Universiti Iktiraf Penyelidikan UTeM Berimpak Kesejahteraan Masyarakat Pembangunan Industri dan Negara

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengiktiraf pencapaian dan sumbangan kakitangan akademiknya menerusi Majlis Anugerah Akademik Universiti (AAU) 2021 yang kini menginjak usia penganjuran tahun ke-13 sejak dimulakan pada tahun 2009.

Majlis AAU 2021 yang bertemakan “Ilmuwan, Ilmu dan Teknologi Menyejahterakan Masyarakat” telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin bertempat di salah sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.

Dr. Massila berkata, program itu secara langsung menyokong usaha UTeM bagi membudayakan ekosistem akademik universiti supaya lebih segar dan dinamik.

Jelasnya, semua penerima dipilih berdasarkan kepada sumbangan terhadap pembangunan akademik khususnya dalam meningkatkan kecemerlangan bidang pengajaran, penyelidikan, penerbitan, inovasi, pengkomersialan serta sumbangan kepada masyarakat.

Katanya, UTeM ada potensi besar untuk mengungguli bidang pendidikan tinggi teknikal di samping menjadi hab rujukan utama bagi kesejahteraan masyarakat, pembangunan industri serta negara,” katanya.

“Kesemua penerima anugerah masing-masing menerima hadiah wang tunai RM4,000, sijil penghargaan serta plak,” katanya lagi.

Antara penerima anugerah AAU 2021 adalah Ts. Ir. Dr. Sharin Ab Ghani (Anugerah Akademik Harapan); Prof. Madya Dr. Mariam Md. Ghazaly (Anugerah Pengajaran); Ir. Ts. Dr. Anuar Mohamed Kasim (Anugerah Penyelidikan).

Turut menerima anugerah adalah Dr. Iskandar Waini (Anugerah Penghasilan Makalah Jurnal dan Anugerah Kualiti Makalah Jurnal) dan Dr. Mohd Najib Ali Mokhtar (Anugerah Penerbitan Buku Bidang Sains & Teknologi).

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim yang turut berperanan selaku Pengerusi Panel Penilai AAU 2021