Skip to main content
09 September 2022

UTeM Dominasi Acara Rejam Lembing SUKIPT 2022 Tamatkan Kemarau Emas

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya mendominasi acara rejam lembing dengan merangkul pingat emas di kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2022 yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, baru-baru ini.

Penonjolan aksi rejaman emas atlet UTeM, Syed Abrar Syed Ahmad Zawawi pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) telah mencorak sinaran pencapaian baharu buat seluruh kontinjen UTeM.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTeM, Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif berkata, pencapaian tersebut sekaligus menamatkan kemarau pingat emas buat UTeM.

Ujarnya, ianya membawa UTeM pada kedudukan yang lebih baik berbanding penyertaan sewaktu edisi sebelumnya yang mana emas terakhir yang dimenangi UTeM adalah melalui acara Tenpin Boling perseorangan lelaki pada SUKIPT 2012.

“Selain rejam lembing yang berjaya menepati sasaran emas, UTeM turut meraih dua pingat gangsa menerusi acara silat olahraga dalam kelas Putra H dan Putri A,” ujar beliau lagi sewaktu memberikan kenyataan kepada pihak media.

Menyentuh prestasi peribadi Syed Abrar pula, Dr Sabri berkata, pencapaian beliau semakin meningkat yang mana sebelum ini beliau turut memenangi pingat emas dalam acara merejam lembing di Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Sirkit 2 Zon Utara pada Mac lepas.

Sementara itu, Pengarah Pusat Sukan UTeM selaku Ketua Kontinjen UTeM, Azhar Mohd Salleh merasa berbangga atas pencapaian yang diraih para atlet universiti melalui kedudukan di tempat ke-29 secara keseluruhan daripada 66 kontinjen institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang turut bertanding.

“Untuk penyertaan kali ini, UTeM menghantar penyertaan dalam 9 acara sukan sahaja berbanding 10 pada SUKIPT 2018 namun keputusan yang diperolehi amatlah membanggakan dengan kesemua atlet UTeM telah membuktikan kemampuan juang

dan daya saing mereka dalam semangat yang tinggi di sepanjang temasya ini,” katanya lagi.

SUKIPT 2022 merupakan edisi yang kelima selepas penganjurannya tertangguh pada 2020 akibat pandemik Covid-19 telah berlangsung dengan jayanya 12 hingga 21 Ogos lalu.