Skip to main content
02 September 2022

Tun Canselor dan Warga UTeM Jayakan Kayuhan Kemerdekaan Sambil Menyampaikan Sumbangan

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjayakan program Kayuhan Kemerdekaan bersama Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka merangkap Canselor UTeM, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Rustam di kawasan sekitar Kampung Bukit Tambun, Durian Tunggal, Melaka.

Program anjuran bersama UTeM dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Tambun Utara ini turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal YB Zahari Abd Kalil, Naib Canselor UTeM Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin.

Turut bersama menjayakan program ini adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar,Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif, staf serta pelajar UTeM.

Naib Canselor UTeM berkata, Kayuhan Kemerdekaan ini merupakan salah satu aktiviti di bawah ‘Program Tun Canselor dan UTeM bersama Masyarakat’ selain pelancaran buku Jejak Tiga Dekad Belia Melaka karya Tun Mohd Ali dan Forum Kemerdekaan bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan peringkat UTeM.

Menurutnya, UTeM amat berbesar hati atas kesudian Tun Mohd Ali selaku Canselor UTeM memeriahkan program ini dengan menyertai sesi Kayuhan Kemerdekaan sejurus selepas menyempurnakan pelancaran buku Jejak Tiga Dekad Belia Melaka pada sesi sebelumnya.

“Kayuhan melibatkan jarak sejauh 3 kilometer itu bermula dari Balai Raya Padang Kerbau mengelilingi kawasan sekitar Kampung Bukit Tambun dan singgah di 5 buah rumah penduduk terpilih untuk menyampaikan sumbangan.

“Tun Canselor bermurah hati dengan menyerahkan sumbangan berupa bantuan kewangan termasuklah barangan keperluan asas seperti minyak masak, gula, beras kepada rumah yang terpilih selain beramah mesra dan bertanya khabar,” katanya lagi.

Jelas beliau lagi, program ini turut menonjolkan imej dan visibiliti UTeM di samping menyantuni komuniti setempat serta menyuntik semangat patriotik kepada warga UTeM dan memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-65.”

Kesinambungan program Kayuhan Kemerdekaan ini diikuti pula dengan kayuhan berjarak sejauh 140 kilometer pada 1 September yang melibatkan lapan institusi pengajian tinggi sekitar Melaka.

Kayuhan bermula dari Dataran Canselori UTeM menuju ke Universiti Kuala Lumpur (UNIKL MICET) cawangan Alor Gajah, Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Lendu, Universiti Melaka (UNIMEL), Open University Malaysia (OUM), Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Geomatika Malaysia (UGM)