Skip to main content
Hasil inovasi kumpulan penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya 7 pingat emas di 32nd International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX 2021).
 
ITEX 2021 merupakan anjuran C.I.S Network Sdn. Bhd. dengan kerjasama MINDS telah berlangsung baru-baru ini di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
 
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Profesor Ir. Dr. Ghazali Omar berkata, UTeM mencapai kemenangan secara total 100 peratus apabila semua produk inovasi yang menyertai pertandingan ini merangkul pingat emas dan pencapaian ini membanggakan.
 
Katanya, UTeM menetapkan penyertaan adalah terdiri daripada kumpulan produk inovasi yang memberikan impak kepada masyarakat serta komuniti dunia selaras dengan konsep TUNAI iaitu Technology at University Advancing Industry and Community.
 
“Konsep penyertaan UTeM juga mengetengahkan produk yang dapat melonjakkan keupayaan penyelidikan berimpak tinggi selaras dengan aspirasi nasional,” katanya di sini.
 
Tujuh pingat emas yang dimenangi adalah menerusi produk PKAC Solid Stick Lubricator for Self-lubricating Railway Wheel Flange, KAIZEN-New Hybrid Vacuum Clamping System featuring Multiple Vacuum Block, Precision Agriculture Recommender System (PARS), Intelligent Fire Alarm System (I-FAS), CoCoK, Direct Heating Furnace (DHF) dan ComFUR.
 
PKAC Solid Stick Lubricator for Self-lubricating Railway Wheel Flange merupakan projek Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) hasil daripada penyelidik Profesor Madya Dr. Mohd Fadzli Abdollah selaku ketua projek.
 
Bagi KAIZEN-New Hybrid Vacuum Clamping System featuring Multiple Vacuum Block pula merupakan projek Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal & Pembuatan (FTKMP) bersama Pusat Pengkomersilan UTeM (UCC) hasil daripada penyelidik Ts. Dr. Norfariza Ab Wahab sebagai ketua projek.
 
Sementara itu, Precision Agriculture Recommender System (PARS) merupakan projek Fakulti Teknologi Maklumat & Komunikasi (FTMK) hasil penyelidikan Profesor Madya Gs. Dr. Asmala Ahmad selaku ketua projek.
 
Ir. Ts. Dr. Kassim pula merupakan ketua projek bagi Intelligent Fire Alarm Anuar Mohamed System (I-FAS) dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE).
 
CoCoK, Direct Heating Furnace (DHF) dan ComFUR merupakan hasil penyelidik dari FTKMP dan masing-masing diketuai oleh Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Yuhazri Yaakob, Profesor Madya Ir. Dr. Mohd Hadzley Abu Bakar dan Ts. Dr. Kamarul Amir Mohamed.
 
Dr Ghazali mengucapkan tahniah kepada semua penyelidik UTeM atas pencapaian tersebut dan semoga dengan pengiktirafan ini akan terus menyemarakkan budaya penyelidikan dan inovasi UTeM serta memartabatkan nama UTeM di persada kebangsaan dan antarabangsa.