Skip to main content
Melaka : Yang Dipertua (YDP) Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam telah dimasyhurkan sebagai Canselor ketiga Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
 
Pelantikan Mohd Ali, 72, mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah berkuatkuasa selama 4 tahun mulai 15 Ogos 2020 hingga 3 Jun 2024.
 
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mewakili Tuanku Abdullah menyerahkan watikah pelantikan pada upacara pemasyhuran yang berlangsung di Dewan Seri Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama YDP Negeri Melaka, Ayer Keroh, semalam.
 
Mohd Ali menggantikan Canselor terdahulu yang juga bekas YDP Negeri Melaka keenam, Tun Datuk Seri Utama Dr Mohd Khalil Yaakob.
 
Turut hadir pada upacara pemasyhuran itu ialah isteri Mohd Ali, Toh Puan Datuk Wira (Dr.) Hajah Asmah Abdul Rahman; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama (Dr.) Sulaiman Md Ali, Pro Canselor UTeM, Tan Sri Halim Saad dan Datuk Dr Sabirin Ja'afar, Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali serta Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim.
 
Mohd Ali dalam ucapannya berkata, UTeM merupakan universiti teknikal pertama yang diwujudkan di Malaysia pada 1 Disember 2000 untuk memartabatkan ilmu melalui pendidikan, penyelidikan dan kesarjanaan teknikal yang inovatif dan kreatif.
 
“Sehubungan dengan ini, UTeM perlu berada dalam arus perdana pendidikan tinggi negara sebagai daya penggerak utama membentuk hala tuju baharu masyarakat Malaysia ke arah transformasi ekonomi dan sosial khususnya dalam era ledakan Industri 4.0 dan ekonomi digital.
 
“Saya juga melihat UTeM sentiasa komited membantu negara dan negeri Melaka dalam menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi berpacukan industri.
 
“Pelaksanaan peta strategi pemerkasaan TVET dijangka mampu menghasilkan graduan TVET yang seimbang, holistik dan berciri keusahawanan untuk membangunkan negeri dan negara amnya,” katanya.
 
Ujarnya, dalam konteks arus perdana pembangunan negara pula, UTeM dilibatkan oleh pembuat dasar di semua peringkat dalam merencana hala tuju strategik negara, terutama yang melibatkan bidang kejuruteraan, teknologi serta TVET.
 
“Kerjasama pintar dan jaringan bersama kesemua pemegang taruh (stakeholder) seperti industri, kerajaan persekutuan dan negeri, serta komuniti perlu terus dipertingkatkan lantas mampu merealisasikan agenda global iaitu matlamat pembangunan kelestarian (Sustainable Development Goals pada tahun 2030.
 
“UTeM turut mendukung aspirasi dan agenda kerajaan negeri selaku entiti penyelidikan untuk melestarikan Melaka sebagai negeri maju bilamana keberadaan UTeM di Melaka dihasratkan berlakunya proses perkongsian serta pemindahan ilmu dan kepakaran kepada masyarakat umum dalam membangunkan negeri tercinta,” katanya dalam ucapan yang disampaikan.

BH Online
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/03/793235/mohd-ali-dimasyhur-canselor-utem-ketiga

BERNAMA
https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1938386

Kosmo!
https://www.kosmo.com.my/2021/03/06/tun-mohd-ali-dimasyhur-canselor-ketiga-utem/

myMetro
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/03/681182/mohd-ali-dimasyhur-canselor-utem

KoolFM
https://www.koolfm.com.my/mohd-ali-dimasyhur-canselor-utem-ketiga/

Malaysia Gazette
https://malaysiagazette.com/2021/03/06/tun-ali-rustam-dimasyhur-canselor-ketiga-utem/

Melaka Hari Ini
https://www.melakahariini.my/mohd-ali-dimasyhur-sebagai-canselor-utem-ketiga/

The Malaysian Insight
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/303822

theSundaily
https://www.thesundaily.my/local/mohd-ali-is-third-utem-chancellor-EH7090446

ismaweb
https://ismaweb.net/2021/03/06/ali-rustam-dimasyhur-sebagai-canselor-utem-ke-3/