Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima 2 orang Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) baharu iaitu Ahli Lembaga Pengarah Rapid Rail Sdn. Bhd, Dato’ Aminuddin Md Hanafiah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, PROLINTAS Group of Companies, Dato’ Mohammad Azlan Abdullah.
Pelantikan Dato’ Aminuddin Md Hanafiah adalah berkuatkuasa selama 3 tahun bermula dari 7 Ogos 2020 sehingga 6 Ogos 2023 mewakili bidang "Berpengetahuan dan Berpengalaman" menggantikan Datuk Dr. Zahazan Mohamed yang telah tamat tempoh pelantikan pada 2 Ogos lalu.
Dato’ Aminuddin Md Hanafiah merupakan lepasan Bachelor of Science Business Administration (Finance), University of Tulsa, Oklahoma dan kini sedang melanjutkan pengajian Doktor Falsafah di Universiti Putra Malaysia.
Memulakan kerjaya bermula pada 1986 sebagai Pegawai Pembangunan Industri di Perbadanan Ekonomi Negeri Perak, beliau mengorak langkah sebagai Pengurus Kewangan dan Pentadbiran di Kelab Golf Darul Ridzuan dan Meru Valley Resort Berhad sebelum memajukan langkah sebagai Pengarah/ Pengurus Besar Seri Rapat Sdn. Bhd dari tahun 1998 hingga 2003 dan Pengarah Eksekutif di M.S.B Development Sdn. Bhd dari 2003 hingga 2008.
Bermula pada tahun 2009 beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Politik Menteri Kewangan II manakala pada tahun 2013 beliau telah berjaya memenangi pilihanraya dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri bagi Dun Hulu Kinta, Perak.
Sepanjang tempoh beliau bergiat dalam dunia politik beliau turut bergiat aktif sebagai Ahli Lembaga Pengarah bagi Syarikat Perumahan Negara Berhad, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perak dan Datasonic Technologies Sdn. Bhd. di samping dilantik menjadi Penasihat Korporat bagi beberapa syarikat swasta.
Pelantikan Dato’ Mohammad Azlan Abdullah pula mewakili "Sektor Swasta" berkuatkuasa selama 3 tahun bermula dari 14 Ogos 2020 sehingga 13 Ogos 2023 menggantikan Dato’ Roslina Zainal yang telah tamat tempoh lantikan pada 6 Ogos lalu.
Beliau merupakan graduan lulusan Sarjana Muda Perniagaan (Perakaunan) dari University of Tasmania, Australia juga merupakan ahli Felo Akauntan Amalan Bertauliah (CPA) Australia dan Akauntan Berkanun, Institut Akauntan Malaysia (MIA).
Memulakan kerjaya pada 1991 bersama Coopers & Lybrand, beliau seterusnya telah menyelusuri kerjaya bersama Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Berhad dari tahun 1992 sehingga 1999 seterusnya bersama Renong Group Property Division dari tahun 1999 sehingga 2001.
Beliau turut pernah berkhidmat bersama Big Tree Outdoor Sdn Bhd sebagai Pengurus Besar bermula 2001 seterusnya dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sehingga 2011 di syarikat berkenaan manakala pengalaman dan kepakaran beliau dicurahkan di New Straits Times Press (M) Berhad sebagai Ketua Pegawai Operasi pada tahun 2011 dan seterusnya memegang teraju sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat berkenaan pada 2012 hingga 2017.