Bagi menyuburkan hubungan berterusan antara pihak universiti dan kumpulan alumni maka Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mewartakan setiap 1 Disember sebagai Hari Alumni bermula pada tahun ini
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr Raha Abdul Rahim berkata, tarikh ini dipilih berdasarkan tarikh penubuhan UTeM pada ketika itu ialah Kolej Universiti Teknikal Malaysia Melaka (KUTKM) adalah pada 1 Disember 2000 dan seterusnya telah dinaiktaraf sebagai UTeM.
Jelas beliau, secara dasarnya setiap tahun bagi tarikh ini semua alumni UTeM akan dijemput untuk kembali ke UTeM bagi menyertai pelbagai aktiviti yang bakal diadakan seperti mana perancangan awal.
“Antara objektif lain diadakan Hari Alumni ini adalah sebagai platform yang membolehkan barisan alumni UTeM menyumbang kembali kepada universiti dalam bentuk kepakaran, nasihat, peluang pekerjaan kepada UTeM dan siswa-siswi UTeM.
“Selain itu, ianya dapat mengeratkan kembali hubungan antara Alumni UTeM dengan pensyarah-pensyarah, staf-staf dan juga siswa-siswi UTeM,” ujarnya sewaktu majlis pertemuan antara pihak UTeM bersama dengan pihak Persatuan Alumni UTeM (AUTeM) di pejabat beliau, Bangunan Canselori, kampus induk UTeM, Durian Tunggal, baru-baru ini.
Mengulas lanjut beliau berharap alumni-alumni UTeM di luar sana akan kembali untuk menyumbang semula kepada UTeM dan komuniti.